Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (kanan) menceritakan bagaimana beliau berpeluang menyaksikan sendiri baginda berdua menjamu hidangan KFC menggunakan tangan. FOTO Facebook Datuk Seri Shahaniza
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KEJUTAN dibuat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beratur membeli hidangan Ayam Goreng Kentucky (KFC) di bandar Temerloh, semalam tidak terhenti setakat itu.

Malah kisah bagaimana Tuanku bersama isteri Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersantap juga menjadi bualan masyarakat yang kagum dengan keperibadian baginda berdua yang tidak kekok menjamu hidangan KFC seperti rakyat marhaen.

Terbaru melalui perkongsian di Facebook (FB) Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menceritakan bagaimana beliau berpeluang menyaksikan sendiri baginda berdua menjamu hidangan KFC menggunakan tangan.

“Raja Permaisuri menitahkan saya duduk di sebelah baginda. Perut memang dah lapar, maka ayam goreng di hadapan saya memang nampak sangat menyelerakan.

“Saya menjeling ke sebelah. Saya lihat sudah tersedia sudu garfu untuk kegunaan Tuanku. Dalam hati, tak puas lah nanti makan ayam goreng guna sudu garfu segala.

“Dengan perlahan saya bisik kepada Raja Permaisuri, Tuanku, kalau dapat makan pakai tangan ni baru ‘best’. Seperti yang saya jangka, Tuanku Permaisuri terus setuju (dan bertitah) ‘Jom kita semua makan pakai tangan’,” tulis Shahaniza di Facebook miliknya, malam tadi.

Katanya, cadangan itu disambut baik Raja Permaisuri Agong yang mana perkara sama turut dilakukan Al-Sultan Abdullah yang mula bersantap menggunakan tangan.

Shahaniza berkata, turut sama bersantap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Peladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syer Ibrahim Syed Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak.

Katanya, pelbagai perkara dibincangkan ketika di meja santapan yang mana setiap cerita yang dibualkan mengandungi iktibar dan penuh dengan ilmu.

Terdahulu, beliau ditugaskan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk ke Temerloh bagi mengiringi baginda berdua melawat mangsa ribut di daerah itu bersama Mohd Sharkar dan Syed Ibrahim sebelum bersetuju untuk bersantap di restoran makanan segera itu sebaik Tuanku selesai menunaikan solat Jumaat.

“Selesai santap, SPB YDPA mengucapkan; ‘Alhamdulillah... Lepas hajat saya nak makan KFC. Dah tiga, empat hari teringin’ titah baginda.

“Pendek kata, hari ini hari yang sangat manis untuk saya. Junjung kasih Tuanku belanja makan KFC,” kata Shahaniza.

Semalam beberapa keping gambar Al Sultan Abdullah dimuat naik di Instagram (IG) istana_negara yang mendapat pujian rakyat kerana sikap baginda beratur untuk membeli hidangan KFC.

Berita berkaitan

Agong beratur beli KFC...

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 11:48 AM