GAMBAR Hiasan.
Skuad Khas Harian Metro


KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri kanan akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

Sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro, bekas menteri terbabit akan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Beliau akan dipanggil terlebih dahulu ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi merekodkan kenyataannya. Kita akan beri notis kepada beliau untuk hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, untuk pertuduhan kes berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pertuduhan dilakukan di dua mahkamah iaitu Mahkamah Jalan Duta dan Mahkamah Shah Alam kerana perbuatan itu berlaku di dua lokasi berkenaan.

“Siasatan mendapati, bekas menteri itu menerima sejumlah wang sogokan daripada sebuah syarikat yang digunakannya untuk tujuan peribadi,” katanya.

Tambahnya, pegawai daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bersekongkol juga dituduh berkait kes berkenaan dalam masa terdekat.

“Fasa kedua, pegawai JIM yang terbabit dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan,” katanya.

Untuk rekod, syarikat berkenaan adalah syarikat yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2016 bagi mengendalikan Sistem Visa Luar Negara (VLN) atas talian termasuk eNTRI dan eVISA untuk pelancong China yang ingin datang ke Malaysia.

Penyelewengan membabitkan syarikat terbabit mula didedahkan Harian Metro melalui laporan eksklusif bertajuk ‘Beruk Boleh Mohon’ pada 14 November 2018 yang mana wartawan akhbar ini ke Guangzhou, China bagi melihat operasi dilakukan syarikat terbabit.

Laporan itu mendedahkan, sejak eNTRI diperkenalkan pada Mac 2016 hingga September 2018, syarikat itu sudah mengutip lebih RMB329,337,280 (RM198,066,952) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang namun tapisan keselamatan dilakukan amat lemah sehinggakan kelulusan diberikan kepada seekor beruk yang diberikan identiti palsu.

Syarikat itu juga diberi hak memungut fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 7:00 AM