ALIFF AZIZ. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Sudirman Mohd Tahir & Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan pelakon kontroversi dari Singapura, Aliff Aziz mendakwa dia dianiaya individu yang baru dikenali berikutan penyebaran video dia sedang bertengkar di telefon dan gambar tubuhnya dipenuhi tatu termasuk tertera nama bekas isterinya, Bella atau Bella Astillah.

Bella berkata, dia ada menghubungi Aliff hari ini dan bekas suaminya itu mendakwa dia dianiaya.

“Saya tak dapat menahan sedih dan terus menghubungi dia. Apa yang terdapat dalam video itu hanya untuk mengenakan dia.

“Aliff terasa kehilangan dan putus asa. Perlukah kita bersorak gembira? Adakah kita betul-betul tiada hati dan perasaan? Adakah kita atau ahli keluarga kita dah cukup sempurna?” katanya.

Bella turut menafikan tubuh Aliff dipenuhi tatu, tetapi adalah inai yang dilukis di badannya pada 2016 lalu.

“Ketika itu saya berada di China. Rasanya sudah lama sangat,” katanya.

Semalam tular video memaparkan penyanyi lagu Sayang Sayang itu didakwa sedang bertengkar dengan seseorang menerusi panggilan telefon.

Malah, turut tular penampilan Aliff yang dipenuhi dengan tatu termasuk tertera nama Bella.

Bella, dia sempat membawa anak mereka Ayden yang kini berusia tahun berjumpa Aliff sebelum bercuti ke Melbourne, Australia, baru-baru ini.


PENYEBARAN gambar tubuh Alif dipenuhi tatu yang tertera nama bekas isterinya, Bella.

“Walau apa pun, dia tetap bapa kepada anak saya. Sebenarnya sebelum berangkat ke Melbourne, saya bawa Ayden berjumpa dengan Aliff di Singapura untuk meluangkan masa dengannya. Apa yang terjadi sekarang sangat mengejutkan saya dan keluarga," katanya.

Bella juga mengakui sudah memaafkan bekas suaminya itu dan tidak pernah menghalang Aliff untuk berhubung dengan anak mereka.

“Jangan kita meremehkan hal yang berkenaan dengan tekanan. Saya selalu beritahu Aliff dia boleh selalu menghubungi atau buat video panggilan pada Ayden bila-bila masa. Saya tak berdendam dengan dia dan sudah maafkan dia 100 peratus. Siapalah saya nak menghukum dia.

"Kepada siapa pun yang berkawan dengan Aliff sekarang, lindungi dan bantulah dia bukan sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, pelukis inai yang dikenali sebagai Kak Lea menerusi Instagram mengesahkan tulisan nama Bella yang dikatakan tatu itu adalah inai.

"Itu adalah inai hitam yang abang saya lukiskan untuk Aliff ketika dia datang lepak di rumah saya. Bukan tatu betul tu. Ini gambar lama iaitu sebelum Aliff dan Bella kahwin,” tulisnya di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 1:43 PM