TOYOTA Vellfire hitam dinaiki Zahid tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 9.30 pagi tadi. -Foto Skuad Khas Harian Metro
Skuad Khas Harian Metro


BEKAS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tampil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, 9.30 pagi hari ini.

Skuad Khas Harian Metro dimaklumkan, kehadiran beliau yang juga Presiden UMNO itu adalah bagi merakamkan percakapan kes menerima wang sogokan daripada syarikat swasta yang mengendalikan urusan kemasukan pelancong dari China untuk kegunaan peribadi.

Berdasarkan pemerhatian, Toyota Vellfire hitam dinaiki Ahmad Zahid memasuki ibu pejabat SPRM pada 9.30 pagi.

Sumber memberitahu Skuad Khas, urusan merekodkan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan bermula pada 10.30 pagi.

“Kalau ikut jadual, Ahmad Zahid akan tiba 10.30 pagi. Bagaimanapun beliau datang awal,” katanya tanpa menjelaskan tempoh masa sebenar rakaman kenyataan itu akan berlangsung.

Metro Ahad semalam melaporkan, menteri kanan kerajaan terdahulu akan dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi merekodkan kenyataannya sebelum dituduh di mahkamah pada Selasa.

Untuk rekod, Ahmad Zahid akan direkodkan kenyataan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM.

Difahamkan, Ahmad Zahid sedang disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Skuad Khas Harian Metro difahamkan, Ahmad Zahid akan diberikan notis untuk hadir ke mahkamah keesokannya untuk pertuduhan kes berkenaan.

“Ahmad Zahid akan dituduh di dua mahkamah iaitu Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan Shah Alam yang mana beliau dilaporkan menerima sogokan berkenaan dia dua kawasan itu,” katanya sumber yang menyiasat kes penyelewengan berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Dakwa bekas menteri
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 10:04 AM