Ah Lek membantu menggali kubur rakannya.
Helmy Abd Rahman


“SAYA tolong gali kubur selepas kasihan melihat rakan lain penat menggali dalam keadaan panas terik dan sedang berpuasa.

“Lagipun arwah rapat dengan saya dan hampir setiap hari kami bergurau-senda,” kata Teo Siong Lek dari Bukit Kecil, Kuala Terengganu.

Teo atau lebih senang disapa Ah Lek, 40, adalah lelaki berketurunan Tionghua yang membantu menggali kubur sahabatnya yang beragama Islam yang meninggal dunia ketika awal Ramadan, baru-baru ini.

Menurutnya, rakan baiknya itu meninggal dunia akibat penyakit angin ahmar dan sebaik mendapat tahu perkara itu, dia bergegas ke tempat arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kecil di sini.

“Saya terlupa nama penuh arwah tapi semua rakan mengenalinya dengan nama Pali saja.

“Bila dapat tahu arwah pengsan diserang angin ahmar, saya teringin sangat melawatnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tapi terpaksa tangguh sebab ada kerja.

“Bagaimanapun, esoknya saya dapat perkhabaran dia meninggal dunia dan saya terus ke tanah perkuburan.

“Bila tiba di sana, ada beberapa rakan gali lubang kubur, tak lama selepas itu seorang daripada mereka tanya sama ada saya nak tolong gali atau tidak.

“Saya okay saja, lagipun ketika itu bulan puasa dan rakan yang menggali nampak penat sangat,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Teo, dia rapat dengan arwah Pali apabila berpindah dan membuka kedai membaiki pendingin hawa di Bukit Kecil 10 tahun lalu.

“Memang setiap hari dia sapa saya dan kami suka bergurau. Tak sangka dia pergi dalam usia baru 30 tahun,” katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan masyarakat Melayu, Teo berkata, dia dan keluarga rapat dengan orang Melayu.

“Sejak kecil saya dibesarkan dalam kalangan orang Melayu, rumah saya di Kampung Panji Alam juga dikelilingi rumah Melayu, jadi hubungan dengan Melayu rapat.

“Saya makan juga seperti orang Melayu, tak kira budu, belacan, saya bedal (makan) saja.

“Malah saya pernah jadi pengapit pengantin kepada rakan baik yang melangsungkan perkahwinan tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Imam Besar Masjid negeri, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, tiada masalah untuk orang bukan Islam menolong menggali kubur orang Islam.

“Tiada masalah, ia bagi menghormati rakannya itu dan sebenarnya amat digalakkan kerana mungkin dengan cara ini dia boleh mendapat hidayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:33 PM