STATUS dimuat naik Adilah Ayeisha Qisteena bersama dua keping gambar dengan komen beberapa individu yang menyamakan tahi lalatnya itu dengan bebola ubi. FOTO ihsan pembaca.


“PADA mulanya, saya tidak kisah, namun apabila semakin ramai menyamakan ia dengan bebola ubi membuatkan saya sedikit marah dan kecewa,” kata Adilah Ayeisha Qisteena Zaidi, 19.

Kisah Adilah Ayeisha Qisteena itu menjadi tular di Twitter selepas dia memuat naik status bersama dua keping gambar dengan komen beberapa individu yang menyamakan tahi lalatnya itu dengan bebola ubi.

Status itu kemudian tular dan mendapat maklum balas dengan 274 komen, 14,600 ‘retweet’ dan 10,500 tanda ‘like’ daripada netizen, sejak dua hari lalu.

Menurutnya, kejadian itu berlaku selepas dia memuat naik swafotonya bersama minuman yang menjadi trend ketika ini iaitu ‘bubble tea’ dengan kandungan bebola ubi di Twitter.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa individu meninggalkan komen agak kasar sehingga menyamakan tahi lalat di atas bibir saya itu sebagai bebola ubi.

“Mungkin, bagi segelintir orang ia adalah satu perkara kelakar. Namun, ia secara tidak langsung membuat saya hilang keyakinan diri dengan ejekan mereka itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dalam pada itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Perniagaan di Kolej Islam Antarabangsa (IIC) berkata, setakat ini, dia belum bercadang untuk membuang tahi lalatnya berikutan atas nasihat ibunya.

“Sebelum ini terutama ketika kecil saya mahu buang tahi lalat itu. Namun, ibu cakap orang yang mempunyai tahi lalat berdekatan bibir itu manis macam pelakon dahulu, Allahyarham Latifah Omar.

“Jadi saya lupakan hasrat itu. Cuma kesal dengan tindakan beberapa individu walaupun umur mereka sudah matang masih mengejek kekurangan orang lain,” katanya yang menetap di Gombak, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 7:47 PM