MAS di hatiku. Itu kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berhubung kelewatan pesawat penerbangan MH002 dinaiki beliau ke London 15 Jun lalu.

Mohamad berkata, perkara berkenaan sudah diselesaikan dengan cara baik dan beliau sendiri sudah berjumpa dengan pengurusan tertinggi Malaysia Airlines Berhad (MAB).

“Persoalan dengan MAS (Malaysia Airlines), saya selesai dengan cara bertemu dengan pihak mereka dan sudah bercakap dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS tadi. Semuanya berjalan lancar.

“Mengenai permohonan maaf, saya anggap itu masalah biasa. Saya yakin MAS akan pertingkatkan kedudukan mereka. Ia adalah kebanggaan rakyat Malaysia termasuk saya sendiri, saya pengguna MAS setia sampai sekarang,” katanya ketika sidang media sejurus Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertahanan Malaysia 2019, di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, MAB dalam satu kenyataan kesal dan memohon maaf atas kesulitan yang menyebabkan kelewatan jadual asal penumpang termasuk Mohamad.

Dalam perkembangan lain, Mohamad menghormati pandangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung hasrat kerajaan untuk menjual MAS.

“Perdana Menteri ada pandangan sendiri, bagaimanapun kita sekarang ada saingan, memang MAS kena bersaing dengan syarikat penerbangan lain yang beroperasi di Malaysia sekarang.

“Saya melihat perkhidmatan MAS masih baik, cuma perkara lain perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Berita berkaitan

MAS mohon maaf kepada Mat Sabu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 3:42 PM