DORONGAN untuk isteri Hattan ceburi perniagaan.
Rudy Imran Shamsudin


SEBELUM ini ramai peminat terkejut melihat Datuk Hattan menjual bengkung untuk wanita menerusi laman sosialnya. Dalam diam Hattan mula mengorak langkah membina empayar perniagaannya sendiri untuk masa depan.

Menurutnya, ia dilakukan kerana situasi industri muzik ketika ini tidak menentu. Tulang belakang dalam perniagaan itu ialah isterinya, Datin Arianie Mohd Abidin.

Hattan ketika ditemui berkata, dia mula berjinak-jinak dengan perniagaan kerana mahu isterinya mempunyai aktiviti selepas menamatkan perkhidmatannya sebagai ketua pramugari dengan syarikat penerbangan tempatan.

“Sebagai orang baru dalam dunia perniagaan, dia kurang yakin sama ada mampu atau tidak melakukannya. Bagi menunjukkan dia boleh, saya mengambil inisiatif untuk memulakan dulu.

“Sebab itu ramai yang tahu saya menjual bengkung untuk wanita. Tentu ada yang berasa pelik, tapi sebenarnya saya melihat dari sudut strategi pemasaran. Ia menarik apabila orang lelaki yang jual barangan untuk wanita.

“Namun ia hanya untuk permulaan, selepas ada permintaan, perniagaan itu akan diteruskan oleh isteri. Memang pada awalnya dia kurang yakin, tetapi apabila dia nampak apa yang kami usahakan ini mula menunjukkan kemajuan, dia mula menunjukkan minat,” katanya.


HATTAN bersama keluarga.

Menurut Hattan, dalam meyakinkan isteri membabitkan usaha terbaharu dilakukan, dia menegaskan Rasullulah SAW pernah bersabda bahawa sembilan daripada 10 punca rezeki adalah dalam perniagaan.

Hattan yang sebelum ini tampil dengan single Akhirat Di Depan bersama Datuk Nash dan Datuk Malek Ridzuan berkata, kebanyakan perniagaan dilakukan secara dalam talian dan sesekali dia akan menyertai bazar yang dianjurkan.

Bercerita mengenai anaknya, Adam Eiman yang membuat keputusan mengikut langkahnya sebagai penyanyi, Hattan berkata, dia tidak menghalang dan memberikan galakan.

Adam bakal muncul dengan lagu Kau Perlukan Aku yang ditulis dan dihasilkan bersama saudaranya bergenre rap serta hip hop.

Walaupun sedar industri muzik tempatan kini agak suram dan tidak menjanjikan masa depan yang cerah, Hattan tetap menggalakkan Adam terus mengejar impiannya. Dia percaya apa yang diusahakan itu akan memberikan kebaikan untuk anaknya.

“Saya tidak bimbang kerana pada masa sama Adam turut mengikuti pengajian dalam bidang Perhubungan Awam Antarabangsa di sebuah pusat pengajian tinggi swasta dan bercita-cita menjadi ahli perniagaan.

“Pelajarannya juga bagus apabila sering memperoleh anugerah dekan dan himpunan purata gred 3.90. Jadi melihat pada perkembangan itu saya yakin apa yang dilakukannya adalah untuk mencabar kemampuan diri sama ada mampu melakukannya atau tidak.

“Lagipun, selepas habis dua tahun pengajian di sini, Adam akan menyambung pelajarannya di London. Pada saya biarlah dia mencuba apa yang ingin dilakukan, sekurang-kurangnya dia akan merasai apa yang saya rasa sebagai anak seni dan dia akan lebih faham,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 5:30 AM