SHIN-HYE suka dengan penampilan terkini.
Ardini Sophia Sina


PELAKON popular Korea Selatan, Park Shin-hye gembira dapat kembali lagi ke Malaysia bertemu peminat di negara ini. Shin-hye yang mula dikenali menerusi drama Stairway To Heaven datang ke negara ini buat kali ketiga Jumaat lalu sempena pelancaran produk yang mengangkatnya sebagai duta.

Apa yang pasti, kehadiran pelakon wanita itu ke sini memang dinantikan peminatnya. Walaupun sekadar melihat dari jauh, peminatnya cukup gembira dan teruja setiap kali Shin-hye melambai ke arah mereka.

Manis dengan gaun merah jambu, Shin-hye sangat berterima kasih atas sokongan peminatnya. Dia juga meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat meluangkan masa lebih lama dengan mereka.

“Saya harap berpeluang datang semula pada masa hadapan dan ketika itu saya ingin luangkan lebih masa bersama peminat. Setiap kali datang ke Malaysia, saya sentiasa disambut mesra.

“Saya sedih juga kerana setiap kali datang ke sini, masanya agak pendek. Bagaimanapun, saya menghargai setiap sokongan yang diberikan. Terima kasih kerana sentiasa ada setiap kali saya datang ke sini,” katanya.


SHIN-HYE datang ke negara ini Jumaat lalu sempena pelancaran produk yang mengangkatnya sebagai duta. FOTO: Rohanis

Sudah lebih 10 tahun bergelar pelakon, aura Shin-hye sedikit pun tidak pudar. Tampil dengan imej rambut pendek, kata Shin-hye, ia adalah persiapan untuk filem baharunya berjudul Call yang bakal ditayangkan November ini.Kali terakhir dia muncul dalam drama ialah menerusi Memories of Alhambra. Melabuhkan tirai pada Januari lalu, Shin-hye kini belum mempunyai sebarang projek drama.

Bagaimanapun, Shin-hye berharap peminat terus memberikan sokongan walaupun hanya mempunyai satu projek buat masa ini. Dia juga meminta peminat menonton filem lakonannya.

“Ya, imej rambut pendek ini adalah untuk filem baharu saya. Saya suka dengan gaya ini dan mungkin akan teruskan dengan penampilan ini buat sementara waktu. Saya gembira kerana peminat juga sangat menyukai imej ini.

“Bercakap mengenai karya baharu, buat masa ini belum ada projek terkini selain filem. Saya harap peminat dapat bersabar menantikan drama baharu lakonan saya,” katanya.

Shin Hye mula popular melalui drama Stairway To Heaven yang ditayangkan pada 2003. Namanya terus mekar selepas berlakon dalam beberapa drama antaranya The Heirs pada 2013, Pinocchio (2014) dan The Doctors (2016).

SEIMBANGKAN KARIER, PERIBADI

Walaupun sibuk dengan karier, wanita berusia 29 tahun ini sedar pentingnya keseimbangan dalam menjalani kehidupan harian bagi mengelak mengalami tekanan.

“Walaupun penat dengan kerja, keseimbangan antara karier dengan kehidupan peribadi itu sangat penting supaya kita sentiasa gembira dan kesihatan mental serta fizikal terjaga.

“Apa yang saya lakukan adalah meluangkan masa untuk bersenam dan melancong bersama keluarga. Selain itu, saya juga membela kucing dan bermain dengannya bagi mengurangkan tekanan. Kita kena buat apa yang kita suka dalam hidup,” katanya.

Dalam satu temu bual, Shin-hye ada mengatakan drama Memories of Alhambra antara naskhah dan watak digemarinya pada usia bakal menginjak 30 tahun.


SHIN-HYE mula popular melalui drama Stairway To Heaven yang ditayangkan pada 2003.

“Saya menghabiskan masa tujuh bulan menjalani penggambaran itu. Agak sedih kerana perlu berpisah dengan semua kru dan pelakon yang terbabit tetapi pengalaman yang menarik.

“Ramai yang memberikan komen saya kelihatan matang dan kewanitaan itu lebih terserlah. Saya rasa mereka mulai mengikuti perkembangan saya ketika masih remaja,” katanya.

Terus terang, kata Shin-hye, ketika masih remaja terlalu banyak perkara yang tidak boleh dilakukannya. Pada usia 20-an, wanita ini takut untuk mencuba banyak watak dan menghalangnya mencabar diri sendiri.

Bagaimanapun, dia kini lebih berani mencuba pelbagai genre dan watak serta mengembangkan pembawaan karakter berkenaan.

Katanya, dia menganggap bertanggungjawab menunjukkan sisi berbezanya sebagai pelakon.

Ditanya bahagian tubuh yang tidak disukainya, kata Shin-hye, dia menyayangi dirinya apa adanya. Tidak ada apa-apa yang ingin diubah kerana peminat juga menerima dirinya.

“Peminat menerima saya seadanya. Kenapa perlu saya mengubah diri? Walaupun tidak mempunyai hidung mancung, saya sangat menyukai mata saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 6:00 AM