Abnor Hamizam Abd Manap


JEMPOL: Demi cintanya kepada isteri, seorang lelaki Australia sanggup melabur RM4.5 juta membina rumah gadang dan beberapa kediaman bercirikan Minangkabau di Kampung Sri Rompin, di sini.

Pelaburan besar itu dikeluarkan Yusof Abdullah, 78, sebagai tanda kasih buat Zaharah Kidam, 79, yang mahukan rumah mengekalkan warisan Penghulu Luak Jempol di kawasan itu.

Yusof turut menganggap pembinaan rumah begitu sebagai penghargaan buat Zaharah yang sanggup mengikutnya menetap di Australia sejak 1966 sehingga memperoleh kerakyatan negara itu.


YUSOF bersama Zaharah di hadapan kediaman mereka di Kampung Sri Rompin.

“Meskipun kami di Australia tetapi isteri selalu memberitahu impiannya mahukan kediaman berkonsepkan ala resort dan lebih penting mengekalkan warisan keluarga.

“Bertunjangkan kasih sayang dan ikatan keluarga, saya memenuhi impian isteri. Saya bangunkan rumah ini di tanah seluas 1.6 hektar dengan belanja RM4.5 juta,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Menurut Yusof, kediaman itu dinamakan sebagai Astana Az-Zahrah, dibina sejak 2016 dan dilengkapi rumah gadang, pejabat, dewan, bilik penginapan berserta beberapa kediaman lain.

“Yang pastinya, kediaman ini berkonsepkan Minangkabau dengan setiap bilik diabadikan dengan nama arwah datuk dan adik-beradik isteri,” katanya.

Beliau berkata, tapak rumah adalah tanah milik bapa mentuanya yang sebelum ini terbiar dan mereka membangunkannya secara berperingkat.

“Walaupun sebelum ini ada yang anggap saya gila kerana membina kediaman berunsur Minangkabau seperti rumah gadang di Bukit Tinggi, Sumatera, Indonesia.

“Tetapi selepas siap, ia cantik melebihi jangkaan kami dan inilah tanda kasih sayang saya kepada isteri,” katanya yang memberitahu datuk kepada isterinya adalah Penghulu Luak Jempol Kesembilan iaitu Abdul Wahab Ibrahim.

Malah, dia juga mengakui bangga apabila menjadi sebahagian daripada Adat Perpatih di Negeri Sembilan selepas mengahwini Zaharah.


SUASANA bilik yang terdapat di Astana Az-Zahrah, Kampung Sri Rompin.

Mereka berkahwin di London, England pada 1966 selepas dia memeluk Islam.

“Sebelum itu kami berkenalan ketika sama-sama menuntut di Macquarie University, Sdyney pada 1964 dan isteri adalah anak kelahiran Kampung Bukit Laka, Bahau.

“Dia menukar kerakyatannya selepas kami berkahwin namun jiwa Melayu dan terikat adat masih menebal dalam dirinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 6:00 AM