LONGGOKAN sisa import plastik yang ditemui di sebuah kilang di Kuala Langat.
Skuad Khas Harian Metro


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius dakwaan pembabitan unsur gengsterisme dalam sindiket penyeludupan sampah plastik import yang berkemungkinan digunakan pihak tertentu ekoran operasi kilang sisa pepejal ‘terganggu’ susulan pendedahan Harian Metro, kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memantau rapat perkembangan terbaru ini.

Menurutnya, pasukan JSJ Bukit Aman akan menangani kes berkenaan memandangkan ianya semakin serius kerana membabitkan gengsterisme yang boleh mengancam keselamatan masyarakat.

“Mereka yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan dan tiada siapa berhak mengugut mana-mana individu,” katanya kepada Harian Metro.

Industri sisa pepejal kini kian ‘panas’ ekoran pendedahan akhbar ini mengenai tindakan segelintir kapitalis haram yang cuba mengaut keuntungan mudah dengan memproses sisa pepejal dari luar negara di Kuala Langat, Selangor tanpa memperoleh Permit Import (AP) HS 39.15 dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

Selain itu, ketakutan membelenggu masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa memandangkan dakwaan wujud unsur gengsterisme yang berselindung di sebalik industri ini.


ABDUL Hamid.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian sebuah rumah di daerah ini disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali, kelmarin.

Menurutnya, siasatan kini dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana khianat dan polis juga akan menyiasat sekiranya terdapat unsur gengsterisme dalam kejadian berkenaan.

Muka depan Harian Metro, kelmarin melaporkan ada kilang haram di Kuala Langat masih menjalankan operasi memproses sisa pepejal walaupun premis berkenaan sudah disita kerana tidak memenuhi spesifikasi dan syarat ditetapkan pihak berkuasa.

Tinjauan juga mendapati ada kilang berlesen namun tidak mempunyai AP skrap plastik kod tarif 39.15 yang turut dipercayai mengimport bahan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 7:02 AM