LELAKI yang menolong mengisi minyak petrol menolak pemberian wang ayah Nurul. FOTO ihsan Nurul Nabillah Najwa Sarkawi
LELAKI yang menolong mengisi minyak petrol menolak pemberian wang ayah Nurul. FOTO ihsan Nurul Nabillah Najwa Sarkawi


“TERIMA kasih uncle (pak cik). Jika ada peluang untuk jumpa lagi saya dan ayah akan belanja uncle minum,” kata Nurul Nabillah Najwa Sarkawi, 20.

Terdahulu, kisah Nurul Nabillah Najwa itu tular di Twitter selepas dia memuat naik status bersama gambar berkenaan lelaki membantu mengisi petrol motosikal ayahnya.

Status itu kemudiannya tular dan mendapat maklum balas dengan 420 komen, 37,500 ‘retweet’ dan 29,400 tanda ‘like’ daripada netizen dan selebriti tempatan, termasuk Neelofa, sejak 27 Jun lalu.

Nurul Nabillah Najwa berkata, kejadian itu berlaku Rabu lalu ketika dia dijemput oleh ayahnya selepas selesai temu duga bagi jawatan pentadbir syarikat di Bukit Jalil.

“Namun, ketika dalam perjalanan balik rumah di Cheras, motosikal yang kami naiki tiba-tiba saja berhenti di Jalan Persiaran 3, Bukit Jalil berikutan ayah terlupa untuk mengisi minyak.

“Kami kemudiannya cuba menolak motosikal itu ke stesen pam minyak terdekat yang mengambil masa lebih kurang 10 minit dari situ.

“Bagaimanapun ada seorang ‘uncle’ berusia lingkungan 40-an memberhentikan kenderaannya dan menawarkan untuk menghulurkan bantuan dengan mengisi minyak di dalam botol di stesen minyak berdekatan,” katanya kepada Harian Metro.

Graduan Kolej Vokasional Kerian, Perak dalam bidang Kesetiausahaan Pentadbiran turut berkata, ayahnya itu sudah menghulurkan sejumlah wang ringgit bagi membayar kos petrol itu.

“Namun, ‘uncle’ itu menolak dengan cara yang baik. Kami hanya mampu mengucapkan terima kasih saja.

“Tidak sempat untuk saya meminta nombor telefon dan nama ‘uncle’ itu berikutan dia dalam keadaan yang tergesa-gesa,” katanya.

Anak keempat dari lima beradik itu, berkata, niat dia untuk berkongsi kisah berkenaan adalah bagi berkongsi masih ramai lagi rakyat yang prihatin negara ini.

“Saya dan ayah sangat terharu apabila uncle itu sanggup membantu kami walaupun dia dalam keadaan tergesa-gesa untuk menuju ke tempat yang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 3:47 PM