Skuad Khas Harian Metro

TIDAK beri peluang. Itu amaran keras Kementerian Dalam Negeri kepada kumpulan gengsterisme yang mendalangi sindiket pengimportan skrap plastik.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bertegas mahu tindakan segera diambil berhubung isu itu yang dilihat menyalahi undang-undang negara.

“Kalau ada elemen gengsterisme, Ketua Polis Negara (Datuk Seri Abdul Hamid Bador) ada di sebelah saya, dia tidak akan bagi peluang.

“Malah, kita tidak akan beri ruang langsung dan mesti ada tindakan diambil,” katanya pada Program Kelestarian Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di Rumah Puspanita di sini, semalam.

Beliau mengulas pendedahan eksklusif Harian Metro mengenai dakwaan wujud unsur gengsterisme dalam industri pengimportan skrap atau sisa plastik.

Hasil pendedahan itu kelmarin, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menggerakkan Ops Simbah dengan menyerbu beberapa kilang di Kuala Langat dan memeriksa hampir 300 pekerja asing dari Bangladesh, Myanmar, Nepal dan China serta memeriksa hostel diduduki mereka untuk mengesan senjata.

Muhyiddin berkata, beliau berharap orang awam yang mempunyai maklumat menyalurkannya segera kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Ia menyalahi undang-undang negara (gengsterisme) dan tak boleh dibiarkan,” katanya.


LAPORAN Harian Metro, 29 Jun 2019. FOTO NSTP

Sementara itu, Abdul Hamid turut mengulangi ketegasan sama untuk tidak memberi muka kepada gengster yang melakukan ugutan jenayah dan menakutkan penjawat awam, penguat kuasa dan aktivis yang menjalankan peranan mereka.

“Saya mengambil perhatian serius dalam perkara ini dan mengarahkan Pengarah JSJ, Datuk Huzir (Mohamed) menangani kes ini terus dari Bukit Aman.

“Pasukan ini akan mencari dan mengenal pasti gengster berkenaan dan beri mesej jelas kepada mereka bahawa kita tidak akan memberi muka langsung dan mahu menghapuskan elemen gengsterisme,” katanya yang ditemui pada program sama.

Menurutnya, dalam kes import skrap plastik, ada kumpulan gengster dipercayai mencurah cat dan perbuatan itu dikira gertakan serta ugutan.

“Ini tidak boleh, jika dibiarkan akan berjangkit dan mengancam nyawa individu yang menjadi mangsa.

“Kami memang tengah all out menghapuskan gengsterisme. Malah, saya sudah mengarahkan bekas anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) yang dibubarkan dan dimasukkan ke unit lain untuk mengesan, menjejak, menangkap dan mendakwa mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 10:00 AM