Sebahagian murid SK Kopok mengalami simptom muntah dan sesak nafas. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


BARU dua jam sesi pembelajaran bermula, ada lagi murid dan pelajar sekolah sekitar Pasir Gudang mendakwa mengalami sesak nafas.

Tinjauan Harian Metro ke beberapa sekolah sekitar kawasan ini mendapati antara sekolah yang memaklumkan murid dan pelajarnya mengalami simptom itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok, SMK Tanjung Puteri Resort, SK Pasir Putih dan SMK Nusa Damai.

Dilaporkan kira-kira 32 murid dan dua guru SK Kopok mengalami gangguan kesihatan manakala masalah sama turut membabitkan 19 pelajar SK Pasir Putih selain dua pelajar SMK Tanjung Puteri Resort.

Turut kelihatan di SK Kopok ialah Pengerusi Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz yang sepatutnya di lokasi untuk mengadakan lawatan pada hari sekolah dibuka semula hari ini.

Semua murid dan pelajar terjejas dilaporkan dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, mereka antaranya yang terjejas pada insiden minggu lalu.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 12:51 PM