DANISH cenderung bantu golongan kurang bernasib baik.
Redzuan Muharam


“SAYA tidak boleh lihat orang susah terutama kanak-kanak dan akan cuba membantu dengan harapan pertolongan itu dapat meringankan beban mereka,” kata Danish Harraz Abd Hafiz, 12, yang aktif membantu murid sekolah dan golongan kurang bernasib baik sejak empat tahun lalu.

Danish berkata, hatinya terdetik untuk membantu golongan memerlukan selepas menjadi kru sukarelawan Pertubuhan Soup Kitchen yang aktif membantu gelandangan di ibu kota menerusi program agihan makanan.

Katanya, bertitik tolak dari situ, dia nekad lebih serius membantu masyarakat dengan mengajak mereka yang berminat turut serta menjadi sukarelawan di bawah pasukannya, #DanishLoveAndSupportCrew.

“Mulanya minat saya lebih ke arah bidang masakan malah sehingga kini saya masih mengambil tempahan membuat biskut dan kek daripada pengikut di laman sosial.

“Pada masa sama, saya gemar menyertai aktiviti sukarelawan, jadi pendapatan sampingan diperoleh itu, saya simpan di dalam tabung dan gunakan untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Setakat ini, saya sudah menyampaikan sumbangan dan mengadakan program di pelbagai kawasan antaranya di sekolah serta kawasan sekitar Cameron Highland, Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Danish berkata, sumbangannya adalah dalam bentuk makanan, minuman, barangan serta mainan terutama kepada murid asnaf yang dihantar melalui pos jika dia tidak dapat menghantarnya sendiri.

“Saya tidak berseorangan sebaliknya dibantu ibu dan ayah serta guru yang menyampaikan maklumat mengenai murid asnaf di sekolah mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, ibunya, Noorliza Abd Rahman, 42, berkata, dia menyedari kecenderungan Danish dalam kegiatan amal dan sukarelawan sejak anak tunggalnya berumur lapan tahun.

Katanya, sebagai ibu, dia kagum dengan keprihatinan Danish dan sentiasa memberi galakan terutama apabila melihat kesungguhan anaknya dalam membantu golongan kurang bernasib baik.

“Danish seorang yang berjiwa besar kerana sejak berumur lapan tahun lagi, dia sudah menunjukkan minatnya dalam aktiviti sukarelawan bermula dengan menjadi kru bagi Pertubuhan Soup Kitchen yang aktif memberi makan kepada gelandangan di sekitar ibu kota.

“Pada tahun berikutnya, dia menubuhkan pasukan sukarelawannya dengan tujuan mengajak sesiapa yang berminat untuk turut serta membantu golongan kurang bernasib baik.

“Selain menyampaikan sumbangan, Danish turut mengadakan lawatan ke hospital bagi memberi semangat dan menceriakan pesakit barah di wad,” katanya.

Menurutnya, kegiatan amal juga sudah sebati dengan Danish hingga anaknya itu tidak keberatan berkongsi rezeki hasil pendapatan sampingannya kepada mereka yang memerlukan.

“Semua barangan sumbangan dibeli menggunakan wang simpanan Danish yang menjual biskut dan kek secara sambilan sejak berusia tujuh tahun.

“Saya dan suami sekadar membantunya membeli barangan dan membungkus barangan yang akan diagihkan kepada penerima.

“Danish seorang yang bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara dan dia akan memastikan setiap barangan sumbangan diagihkan sama rata kepada penerima.

“Sebagai ibu, saya kagum dengannya kerana sudi membantu golongan memerlukan walaupun masih muda dan akan terus menyokong kerja amal yang dilakukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 6:45 AM