Muhammad Aiman. FOTO Arkib NSTP
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

“KAMI sekeluarga reda dan boleh menerima ujian yang ditimpa ke atas keluarga kami,” kata Muhammad Afiq Mat Ani, 24.

Muhammad Afiq adalah abang kepada penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Muhammad Aiman Hakim Mat Ani, 22, yang mayatnya ditemukan dalam tangki air di FELDA Palong 12 di Jempol, Negeri Sembilan pada Mac lalu.

Muhammad Afiq berkata, dia dan keluarga kini sedang menguruskan pengebumian adiknya yang dijangka akan dilakukan selepas solat Zuhur, hari ini, di Tanah Perkuburan Islam FELDA Keratong, Rompin.

“Apa yang penting kini jenazah adik saya sudah boleh dikebumikan, yang lain saya serahkan kepada polis,” katanya.

Katanya, sebaik dimaklumkan mengenai keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) oleh polis, keluarga sudah menerima hakikat itu dan segera mempersiapkan urusan untuk membawa pulang jenazah dari Hospital Jempol.

Media hari ini melaporkan rangka ditemukan dalam tangki air di Felda Palong 12 di Jempol pada 25 Mac lalu disahkan milik Muhammad Aiman Hakim.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim dalam kenyataan berkata, ia berdasarkan ujian asid deosiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap rangka berkenaan.

Muhammad Aiman Hakim sebelum ini dilaporkan hilang pada 9 Julai tahun lalu selepas keluar dari rumah di Jalan Keratong Indah 16, Desa Keratong Indah, Bandar Tun Razak, Pahang.

Ketika kejadian, dia dengan menunggang motosikal Modenas MR1, nombor pendaftaran JRT 916, berseorangan.

Dalam pada itu, Muhammad Afiq berkata, pihaknya menghormati prosedur pihak berkuasa

bagi menjalankan ujian DNA dilakukan sebelum mereka boleh mengebumikan jenazah.

“Kami sekeluarga berdoa supaya rohnya (Muhammad Aiman Hakim) dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman,” katanya.

Berita berkaitan

Sah rangka Muhammad Aiman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 12:22 PM