Rizanizam Abdul Hamid


SEORANG lelaki menikam isterinya sehingga mati, sebelum menikam dirinya sendiri selepas mereka dipercayai bertengkar di rumah mereka di Taman Seri Duyong Fasa 2, Duyong di Melaka, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa, Samnah Mohamed, 55, maut dengan empat kesan tikaman di badan, manakala suaminya berusia 56 tahun cedera.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kes itu kira-kira jam 10 pagi hari ini.

“Siasatan awal mendapati sebelum itu berlaku pertengkaran antara kedua-duanya, sebelum suspek menikam isterinya menggunakan pisau pemotong sayur berukuran 23 sentimeter.

“Suspek kemudian turut menikam dirinya dengan dua kesan tikaman namun dibawa ke Hospital Melaka dan menerima rawatan di zon merah, ” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, semakan awal mendapati suspek yang tinggal di rumah teres setingkat itu mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes curi dan positif dadah syabu tahun ini.

“Suspek juga mempunyai kad rawatan psikiatrik di Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu tingga bersama anak lelaki berusia 25 tahun. Bagaimanapun, anak lelaki mereka itu tidak dicederakan suspek ketika kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 2:59 PM
POLIS di lokasi kejadian pembunuhan  Samnah (gambar kecil) yang ditikam suaminya. FOTO NSTP
POLIS di lokasi kejadian pembunuhan Samnah (gambar kecil) yang ditikam suaminya. FOTO NSTP