AFZANIZAR menunjukkan tompokan darah di lokasi kejadian seorang wanita maut ditikam suaminya di Taman Seri Duyong Fasa 2, Duyong, Melaka, hari ini. FOTO Khairunisah Lokman.
AFZANIZAR menunjukkan tompokan darah di lokasi kejadian seorang wanita maut ditikam suaminya di Taman Seri Duyong Fasa 2, Duyong, Melaka, hari ini. FOTO Khairunisah Lokman.
Rizanizam Abdul Hamid


“SELEPAS solat Subuh di surau pagi tadi, dia sempat berpesan kepada saya untuk mendoakannya supaya tidak takut mati sebelum berlalu sambil membawa al-Quran,” kata seorang penduduk Taman Seri Duyong, Melaka, yang enggan dikenali.

Lelaki berusia 50-an itu berkata, itu kali terakhir dia bercakap dengan lelaki dikenali Mat, 50-an sebelum dia dikejutkan dengan berita lelaki itu menikam isterinya sehingga maut sebelum menikam diri sendiri.

Menurut penduduk berkenaan, sebelum kejadian, lelaki itu cuba menyerang noja surau dengan parang, malah mengejar mangsa sehingga ke rumahnya yang terletak berhampiran surau.

“Selepas dia berjaya ditenteramkan beberapa jemaah surau, dia ada memanggil saya dan berkata: ‘bang, doakan saya supaya tidak takut mat’” sambil berlalu dengan membawa al-Quran,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang lelaki menikam isterinya sehingga mati sebelum menikam dirinya sendiri selepas mereka dipercayai bertengkar di rumah mereka di Taman Seri Duyong Fasa 2, Duyong, hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa, Samnah Mohamed, 55, maut dengan empat kesan tikaman di badan manakala suaminya berusia 56 tahun cedera.

Mayat mangsa yang juga ibu kepada empat anak dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika diminta mengulas mengenai insiden cubaan menyerang penduduk oleh suspek berkata, polis masih melakukan siasatan mengenainya.

“Perkara berkenaan (menyerang penduduk) masih dalam siasatan, saya belum dapat sahkan kerana belum dapat temu bual saksi yang melihat kejadian.

“Sekarang ini kita belum ambil sebarang rakaman percakapan, apa yang kita dapat hanyalah makluman daripada kakak kepada anak lelaki mangsa yang berada di sini.

“Kita belum membuat temu bual saksi yang juga anak lelakinya. Lain-lain saksi belum ada,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita berkaitan

'Kejamnya kamu suami...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 4:55 PM