LOKASI kejadian seorang wanita yang maut ditikam suaminya di Taman Seri Duyong Fasa 2. FOTO Khairunisah Lokman
LOKASI kejadian seorang wanita yang maut ditikam suaminya di Taman Seri Duyong Fasa 2. FOTO Khairunisah Lokman
Rizanizam Abdul Hamid


“SELEPAS mendengar suara meminta tolong dari jiran, saya terus berlari ke rumahnya dan terkejut apabila mendapati kedua-dua suami isteri itu dalam keadaan berlumuran darah di ruang letak kereta.

“Pada masa sama saya, terlihat sebilah pisau berada di lantai dan terus menghubungi ambulans,” kata Mohd Norsyazwan Norahim, 19.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin itu adalah jiran kepada mangsa bunuh suaminya sendiri, Samnah Mohamed, 55, di rumahnya di Taman Seri Duyong Fasa 2, Duyong di sini kira-kira 10 pagi hari ini.

Menurutnya sebelum itu, dia dan keluarganya ada terdengar suara bising pasangan suami isteri itu dari dalam rumah mereka yang terletak bersebelahan rumah keluarganya.

“Saya dengar mak cik itu (mangsa) menjerit, ‘tolong... tolong, jangan... jangan’, membuatkan saya berlari ke rumah mereka untuk melihat apa yang berlaku.

“Waktu itu, saya tengok mak cik sudah dalam keadaan lemah dan berlumuran darah manakala pak cik (suami mangsa) terbaring dan turut berlumuran darah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang lelaki menikam isterinya sehingga mati, sebelum menikam dirinya sendiri selepas mereka dipercayai bertengkar di rumah mereka di Taman Seri Duyong Fasa 2, Duyong di Melaka, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa, Samnah Mohamed, 55, maut dengan empat kesan tikaman di badan, manakala suaminya berusia 56 tahun cedera.

Mayat mangsa yang juga ibu kepada empat anak dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang enggan dikenali berkata lelaki itu (suspek) sempat berpesan kepadanya supaya mendoakan dia tidak takut mati pagi tadi.

“Selepas solat Subuh berjemaah dia sempat berpesan kepada saya untuk mendoakannya tidak takut mati,” katanya.

Dakwanya lagi, sebelum kejadian itu lelaki berkenaan turut cuba menyerang noja surau berkenaan dengan parang malah mengejar mangsa sehingga ke rumahnya yang terletak berhampiran surau.

“Kemarahannya itu, bagaimanapun, berjaya ditenteramkan beberapa jemaah surau sebelum dia turut solat berjemaah.

“Bagaimanapun selepas habis solat, dia ada memanggil saya dan berkata, ‘bang, doakan saya supaya tidak takut mati’ sambil berlalu dengan membawa al-Quran,” katanya.

Berita berkaitan

'Doakan saya tak takut mati'

'Kejamnya kamu suami...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 5:22 PM