SEORANG daripada tiga beradik itu. FOTO Ihsan JKM
Zatul Iffah Zolkiply


TIGA beradik termasuk seorang budak lelaki yang ditinggalkan dalam keadaan tidak terurus di sebuah rumah di Padang Setenge, Kuala Berang, diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semalam.

Difahamkan, tiga beradik berusia antara enam hingga 12 tahun itu ditinggalkan ibu mereka berusia 32 tahun lebih daripada tiga hari tanpa sebarang makanan dan pengawasan keselamatan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pelindung kanak-kanak JKM menerima panggilan kira-kira jam 10 pagi memaklumkan mengenai keadaan tiga beradik itu sebelum pergi ke rumah berkenaan.

Beliau berkata, siasatan mendapati hanya budak lelaki berusia 12 tahun masih bersekolah, namun rekod kehadirannya tidak memuaskan, manakala dua adik perempuannya tidak bersekolah.

“Siasatan mendapati ibu bapa mereka ini sudah lama berpisah dan menyewa di rumah berkenaan.

“Difahamkan, ibu mereka ini tidak bekerja dan dikatakan kerap bertukar pasangan serta meninggalkan anaknya lebih daripada tiga hari.

“Malah, wanita itu juga dikatakan akan mengamuk sekiranya penduduk kampung memberi makanan atau duit belanja kepada anak-anaknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Adli berkata, pemeriksaan mendapati tiada kesan kecederaan atau didera ketika tiga beradik itu diselamatkan dan mereka kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Taman Sinar Harapan di Kuala Terengganu.

Katanya, tiga beradik itu bagaimanapun akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Ibu kepada tiga beradik ini dipercayai sudah melarikan diri ke Kuala Lumpur mengikut teman lelakinya dan usaha mengesan sedang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 9:55 AM