Skip this ad x
KRU Berhijab pastikan jemaah haji terima servis terbaik ketika dalam penerbangan. FOTO Luqman Hakim Zubir
Yusri Abdul Malek


DIGELAR Kru Berhijab, tugas mereka adalah memastikan setiap jemaah haji yang menaiki pesawat dilayan sebaik mungkin demi menyantuni dhuyufurrahman atau tetamu Allah.

Sentiasa tersenyum dan menuturkan perkataan yang sopan adalah prinsip utama bagi mereka sekalipun berdepan dengan situasi yang kurang menyenangkan.

Bagi pramugari Amal iaitu anak syarikat Malaysia Airlines Berhad yang khusus untuk penerbangan sewaan umrah dan haji, Norlinda Mohd Noor, 43, sepanjang berkhidmat sejak 25 tahun lalu, tugas menyantuni jemaah haji adalah paling mencabar terutama bagi jemaah yang pertama kali menaiki pesawat.

“Namun begitu, setiap mereka diberi layanan baik bagi memastikan mereka selesa ketika berada sepanjang penerbangan.

“Warga emas kebanyakan ada yang tidak biasa atau tahu menggunakan tandas menyebabkan ada yang menahan untuk membuang air untuk tempoh yang panjang.

“Dalam situasi ini kami akan bertanya kepada mereka jika perlu apa-apa. Kami akan memberi servis terbaik dan membantu mereka,” katanya ketika ditemui dalam pesawat A380 yang membawa 480 jemaah haji untuk penerbangan pertama dari Kuala Lumpur ke Madinah.


DIGELAR Kru Berhijab, pramugari Amal iaitu anak syarikat Malaysia Airlines Berhad yang khusus untuk penerbangan sewaan umrah dan haji, Norlinda Mohd Noor, 43. FOTO Yusri Abdul Malek

Dalam satu penerbangan haji, seramai 20 kru akan terbabit.

Katanya, dalam pengalaman lalu, dia terharu kerana ada dalam kalangan jemaah yang menaiki pesawat bersamanya mendoakan kesejahteraannya di depan Kaabah.

“Saya tidak menyangka ada juga jemaah yang ingat nama saya walaupun kali pertama bertemu dan berdoa untuk saya,” katanya.

Bagi rakannya, Mohd Fauzi Abdul Habi, 47, sepanjang berkhidmat sebagai pramugara sejak 2001 dan terbabit dengan jemaah haji dan umrah mulai tahun lalu, dia sentiasa bersedia menghadapi pelbagai masalah luar jangka terutama jemaah yang tidak sihat.

Beliau yang berasal dari Semporna, Sabah turut mengakui sejak menyertai Amal ini, dia sudah banyak kali berpeluang mengerjakan Umrah tetapi belum kesempatan mengerjakan haji.

“Dalam Ramadan lalu saya berpeluang beberapa kali bertarawih di tanah suci,” katanya yang turut berdoa supaya ditemukan jodoh kerana selama ini beliau sibuk menguruskan ibu bapa.

Katanya, menyertai Amal adalah satu rahmat yang besar dalam hidupnya.


KUMPULAN pertama jemaah haji menunggu untuk pemeriksaan keselamatan di KLIA, semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir

Liputan terbaik dari Tanah Suci

“Saya berharap diberi kesihatan yang baik supaya dapat memberi liputan terbaik perjalanan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci buat tatapan waris dan ahli keluarga jemaah di tanah air,” kata Pengarang Berita Kanan (Berita dan Digital) Harian Metro, Yusri Abdul Malek.

Yusri antara 13 petugas media yang terpilih membuat liputan haji tahun ini termasuk daripada New Straits Times (NST), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kumpulan Media Prima dan Utusan Malaysia.

Kumpulan petugas media itu bersama 483 bakal jemaah haji selamat berlepas ke Madinah semalam menerusi penerbangan KT01 (MH8100), jam 5.30 pagi.

Majlis pelepasan kumpulan jemaah itu disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan Haji merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Yusri ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji (TH), di sini, berkata dia bersyukur atas peluang diberikan oleh TH dan ini adalah kali kedua kunjungannya ke Tanah Suci selepas menunaikan umrah beberapa tahun lalu.


PENGURUS Besar Kanan Haji Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (tiga dari kiri) beramah mesra dengan petugas media pada Majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Petugas Haji ke Tanah Suci di Kompleks TH Sepang, semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir

Katanya, sejak 2012 TH memilih Harian Metro sebagai rakan media bagi liputan haji termasuk menghantar seorang wakil ke Tanah Suci sepanjang musim haji berkenaan.

“Saya adalah wakil ketujuh bagi Harian Metro yang terpilih untuk membuat liputan musim haji. TH memilih Harian Metro berikutan liputan meluas dan menyeluruh yang diberikan akhbar ini khususnya setiap musim haji,” katanya.

Sementara itu, Penulis Khas NST Azura Abas berkata, dia turut bersyukur kerana diberi peluang untuk kembali ke Tanah Suci selepas menunaikan umrah pada 2005.

“Januari lalu, saya kirim doa kepada rakan sekerja yang menunaikan umrah mohon supaya Allah SWT meluaskan rezeki untuk kembali menunaikan ibadat di Tanah Suci. Alhamdulillah, doa dimakbulkan.

“Saya menerima makluman daripada pengarang mengenai pemilihan nama sebagai petugas media ke Tanah Suci iaitu sebulan selepas saya mengirim doa kepada rakan sekerja yang mengerjakan umrah,” katanya.

Katanya, dia mengakui sudah lama merindui dan teringin untuk kembali sekali lagi menunaikan ibadat di Tanah Suci.


PETUGAS memeriksa beg jemaah haji sebelum menaiki pesawat. FOTO Luqman Hakim Zubir

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 7:00 AM