Skuad Khas Harian Metro


LAMBAKAN pendatang asing terutamanya warga Bangladesh di ibu kota bukan saja menguasai pelbagai perniagaan malah membina empayar pemerdagangan orang bagi eksploitasi seks yang mengaut laba jutaan ringgit.

Kegiatan haram berkenaan dibongkar hasil kolaborasi Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman bersama wartawan Skuad Khas Harian Metro diketuai Ketua Risikan Operasi D3 Bukit Aman Superintendan Hazril Khamis.

Tugas penyamaran, risikan dan pengumpulan maklumat dilakukan hampir sebulan sebelum serbuan dilakukan.

Serbuan serentak dilakukan bermula jam 10.30 pagi semalam di empat pusat pelacuran termasuk hotel dan tiga rumah kedai yang diubahsuai menjadi hotel sekitar Kota Raya, Jalan Hang Lekiu dan Lebuh Pasar Besar.


LELAKI yang dipercayai penjaga premis berkenaan. FOTO Rosdan Wahid

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed mengesahkan kejayaan berkenaan dan berkata pihaknya menyelamatkan 64 wanita warga Bangladesh, India dan Indonesia serta wanita tempatan selain menahan 23 penjaga keempat-empat premis itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kebanyakan mangsa dibawa masuk ejen juga warga Bangladesh yang dijanjikan pekerjaan sah namun dieksploitasi sebagai pekerja seks sebaik tiba di negara ini.

“Kami dalam proses merekodkan kenyataan semua mangsa dan fokus utama kita bagi memperincikan elemen pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi seks yang dipelopori sindiket warga asing,” katanya.


KEADAAN dalam premis yang diserbu pihak berkuasa, semalam.

Menurutnya, mangsa memang tidak boleh lari kerana perlu menjelaskan hutang kos kemasukan mereka ke negara ini yang kepada ejen selain pasport dipegang majikan.

Huzir berkata, pihaknya juga berjaya menahan tiga dalang utama iaitu warga Bangladesh yang menjalankan kegiatan haram berkenaan selain merampas RM6,001, SGD100, 22 telefon bimbit dan 122 kondom.

Beliau berkata, penjaga premis meraih pelanggan di hadapan premis untuk melanggan wanita yang dikawal di setiap premis dan hotel berkenaan.

“Harga untuk khidmat seks dikenakan sindiket antara RM40 hingga RM100 bagi sekali perkhidmatan.

“Pelanggan hanya dibenar ‘bersama’ wanita atau mangsa selama 15 minit,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007.


SEBAHAGIAN pelacur yang ditahan dalam serbuan di empat pusat pelacuran sekitar ibu kota, semalam.

Katanya, Op Pintas Kota Raya itu membabitkan kekuatan 50 pegawai dan anggota Bahagian Operasi Khas D3 Bukit Aman serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Terdahulu, wartawan dan jurugambar serta juruvideo dipecahkan kepada empat pasukan memasuki kawasan sasaran seawal jam 4 pagi.

Serbuan pertama dilakukan di hotel berjaya menahan dalang utama yang baru menghantar wanita ke premis berkenaan.

Kelihatan beberapa aksi di mana wanita yang dieksploitasi untuk seks cuba melarikan diri namun semuanya berjaya ditahan walaupun ada antara mereka bersembunyi di bilik rahsia.

Serbuan di lokasi kedua dan ketiga sedikit lancar berbanding sasaran (lokasi) keempat yang mana terdapat empat pintu besi terpaksa dipecahkan sebelum menemui mangsa dan penjaga premis itu.

Sebanyak 28 mangsa berjaya diselamatkan dan empat penjaga ditahan.


ANGGOTA polis mengumpil pintu bilik pelacur yang dikunci.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 10:00 AM
ANTARA wanita warga Bangladesh yang diselamatkan akibat ditipu sindiket pelacuran. FOTO Aizuddin Saad