BAHAGIAN lantai bas sekolah berlubang menyebabkan murid, Wan Mohammed Adam Mohd Suria, 12 maut digilis bas, di Kampung Kandis, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Siti Nor Hidayatidayu Razali


POLIS sudah mengambil keterangan pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan murid Tahun Enam terjatuh dari bas sekolah dan maut kejadian di Kandis, Bukit Yong, dekat Pasir Puteh, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri mengesahkan perkara itu berkata, polis memanggil pemandu bas berkenaan untuk direkod keterangan berhubung kejadian, sejurus kemalangan itu, semalam.

Katanya, hasil siasatan mendapati pemandu bas berkenaan mempunyai lesen memandu yang sah dan berpengalaman selama empat tahun memandu bas sekolah terbabit.

“Pemandu itu bekerja dengan majikannya dan membawa rombongan murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang untuk menyertai kursus Bahasa Inggeris di Besut, Terengganu.

“Pada masa kejadian, hanya terdapat 31 murid bersama pemandu tanpa ada guru pengiring atau pihak sekolah.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu mendapati ia negatif. Namun, kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bas sekolah itu mempunyai permit dan lulus ujian Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) pada Mei lalu.

Pada perkembangan yang sama ketika mengulas berhubung kenyataan keluarga mangsa yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kejadian kemalangan itu, beliau berkata, ia terpulang kepada keluarga.

“Keluarga mempunyai hak untuk mengambil tindakan itu (undang-undang),” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, murid Tahun Enam itu dipercayai terjatuh dari bas sekolah sebelum digilis tayar kenderaan itu menyebabkannya parah dan maut dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik, dekat Kandis, Bukit Yong, Pasir Puteh, 11.50 pagi semalam.

Bas sekolah yang dinaiki 31 murid Tahun Enam itu dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang ke Besut, Terengganu dan sebaik sampai di Kandis, Bukit Yong, dekat Pasir Puteh, kanak-kanak itu terjatuh ke atas jalan.

Sebelum kejadian, mangsa dipercayai bermain di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu.

Secara tiba-tiba mangsa melompat ke bahagian hadapan pintu masuk bas dan terus terjatuh ke bahagian bawah kerana bahagian lantai kenderaan itu reput.

Berita berkaitan

'Saya sempat pegang bahu Adam'

Tolong siasat kejadian menimpa Adam!

Adam, bersemadi lah dengan tenang..

Pilu kehilangan anak lelaki tunggal

[UPDATE] Mangsa dipercayai bermain dalam bas

Tragedi lantai bas reput

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 1:54 PM