AHMAD Safiuddin mendukung Ainul Mardhiah. FOTO FB AHMAD SAFIUDDIN


“BILA kamu besar nanti, jangan lupa bahawa pada hari ini ramai yang sudah membantu dalam proses rawatan kamu,” kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, di laman Facebook miliknya.

Luahan itu dituju kepada Ainul Mardhiah dalam satu status dikongsi bersama sekeping gambar dia mendukung anaknya pada jam 6.51 petang (waktu Malaysia).

Menerusi status itu juga, Ahmad Safiuddin mengakui anaknya itu disayangi dan mendapat doa orang ramai.

“Mereka tidak pernah mengenali kamu apatah lagi menyentuhmu, tapi dengan sifat keprihatinan dan kasihan mereka terhadap kamu, mereka lakukannya dengan sukarela.

“Anak, bila sudah besar nanti, berilah manfaat kepada orang lain. Bantu orang yang memerlukan seperti mana orang lain yang sudah membantumu ketika kamu memerlukan.

“Anak, bila sudah besar, sayang lah semua orang, ucap baik baik kepada semua orang dan fikir yang baik baik kepada semua orang. Anak, kita adalah apa yang kita fikir,” katanya.

Dalam perkongsian itu, Ahmad Safiuddin turut berharap anaknya membesar dengan baik.

“Walid dan mama akan buat apa sahaja untuk segala kebaikanmu walaupun harus melalui pelbagai cabaran dan rintangan.

“Apa yang walid dan mama mahu adalah melihat kamu membesar dengan normal seperti bayi atau kanak-kanak lain,” katanya.

Setakat jam 7.14 petang tadi, status itu mendapat 2,300 reaksi, 35 komen dan 101 perkongsian.

Rata-rata netizen meninggalkan komen positif selain mendoakan agar Ainul Mardhiah terus sihat serta menjadi anak yang soleh.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 8:24 PM