DUA mayat pelancong China yang maut ketika menyelam di Pulau Kulapuan. FOTO IHSAN PEMBACA
Fardy Bungga


TIGA termasuk dua pelancong China maut ketika aktiviti menyelam di Pulau Kulapuan, Semporna, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, salah seorang mangsa yang maut adalah penyelam bertauliah dikenali sebagai Zainal Abdun, 31, manakala identiti dua lagi pelancong masih belum dapat dikenal pasti.

Ahli keluarga mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ray berkata, dia mengetahui insiden malang itu selepas dihubungi rakan penyelam.

Katanya, kali terakhir dia bercakap dengan mangsa yang juga anak saudaranya pada jam 2.15 petang apabila menghubunginya untuk bertanya mengenai kunci kereta.

“Saya sangat terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian ini. Saya tahu sebelum ini dia sedang membawa dua penyelam warga China.

“Saya tidak tahu punya insiden ini tetapi ada rakan mendakwa mereka terkena bom ikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ray berkata, rakan mangsa terpaksa mencari mereka lebih sejam sebelum menemui ketiga-tiga mangsa kira-kira lima meter di dasar laut.

“Saya sempat melihat badan mereka. Tiada kecederaan serius cuma terdapat darah keluar daripada telinga dan mulut,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi, mengesahkan kejadian maut membabitkan dua pelancong China dan seorang penyelam yang dipercayai pemegang kad IMM13.

Katanya, pengendali bot yang membawa mangsa sudah membuat laporan polis dan kita sedang mengambil keterangannya.

“Setakat ini, kita masih belum dapat mengesahkan kejadian sebenar dan punca kematian mangsa.

“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 9:39 PM