Muhammad Apendy Issahak


USAHAWAN kosmetik Datuk Seri Vida (DSV) hari ini memohon maaf secara terbuka kepada penyanyi Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin, 54, sebagai satu daripada tiga syarat hasil proses mediasi antara kedua-dua pihak di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Isnin lalu.

DSV memohon maaf atas representasi salah terhadap hadiah barang kemas tambahan bagi program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang beliau akui terkhilaf dalam mengumumkan harga barang kemas itu yang mana ia adalah harga ketika dibeli suatu ketika dahulu.

“Saya membuat permohonan maaf ini selepas mengambil kira segala faktor dan kesan yang mana secara langsung membabitkan beberapa pihak lain terpalit sama dalam kes ini.

“Bagi saya tiada isu kalah atau menang dalam kes ini kerana penyelesaian dicapai melalui proses mediasi dimana kedua-dua pihak berbincang dan secara bersama bersetuju dengan cadangan penyelesaian yang kemudiannya menjadi ‘perintah persetujuan’ oleh mahkamah,” katanya.

DSV atau nama sebenarnya Hasmiza Othman berkata demikian dalam sidang media khas bersama peguamnya, Zailan Mohamed di kediamannya di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, permohonan maaf itu akan melengkapkan kesemua tiga syarat yang dipersetujui melalui proses mediasi iaitu menggantikan berlian asli berharga RM80,000 serta perlu membayar kos peguam Aishah sebanyak RM7,500 yang perlu dibuat pada atau sebelum 17 Julai ini.

“Proses pembayaran barang kemas yang sudah pun dipilih Aishah sebaik proses mediasi selesai Isnin lalu di kedai emas yang saya cadangkan memerlukan sedikit masa lagi bagi dokumentasi begitu juga dengan bayaran peguamnya.

“Saya difahamkan oleh pihak kedai emas, penyanyi terbabit sudah memilih lima barang kemas yang dikehendakinya dan saya tiada bantahan walaupun ia bukan daripada kategori dipersetujui iaitu emas putih,” katanya.

Menurutnya, dia berharap kes berkenaan selesai dan tidak lagi dipanjangkan lagi, namun mengakui terkejut dengan tindakan Aishah membuat sidang media sejurus proses mediasi selesai sedangkan sudah bersetuju untuk membuat sidang media secara bersama pada satu tarikh kelak.

Sementara itu, anaknya, Nur Edlynn Zamilleen, 12, atau lebih dikenali sebagai Cik B turut membuat kejutan dalam sidang media itu apabila menyerahkan sejumlah wang tunai hasil jualan produk makanan ringannya sendiri untuk membayar segala kos ditanggung ibunya.

Berita berkaitan:

  • Jihan enggan komen, bimbang disalah tafsir
  • Sapina untuk saling membantu artis - Aishah
  • Vida enggan komen kes hadiah berlian palsu
  • Ganti berlian asli sebelum 17 Julai ini - Aishah
  • Rezeki Aishah juara GV4
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 6:17 PM
    VIDA (kiri) memohon maaf secara terbuka kepada penyanyi Aishah pada sidang media khas bersama peguamnya, Zailan Mohamed (kanan). FOTO Muhaizan Yahya