ZAHALINI bersama anaknya, Muhammad Afif Irfan yang menghidap Biliary Atresia. FOTO Ihsan Pembaca
Redzuan Muharam


“MEMANG gementar tetapi demi anak, saya sanggup lakukan pembedahan (pemindahan hati) itu asalkan dapat melihat dia kembali sihat seperti ketika baru dilahirkan,” kata Zahalini Alias, 39, ibu bayi setahun tiga bulan, Muhammad Afif Irfan Abdullah yang disahkan menghidap penyakit hati tersumbat atau Biliary Atresia.

Zahalini bakal menjalani pembedahan pemindahan hati bersama anak bongsunya, Muhammad Afif Irfan di Max Super Speciality Hospital, Sarket, New Delhi, India dan dijangka bertolak ke negara itu pada 14 Julai depan bersama suaminya, Abdullah Yaakub, 37.

Bercerita lanjut, Zahalini berkata, anaknya dilahirkan normal tetapi disahkan doktor menghidap penyakit berkenaan ketika berusia dua bulan satu hari sebelum menjalani pembedahan ‘Kasai’ di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) , Kota Bharu, Kelantan lapan hari kemudian.

Pembedahan Kasai adalah pembedahan bagi membuang duktus hempedu yang rosak serta penyambungan bahagian usus terus ke hati supaya hempedu dapat mengalir dari hati terus ke usus.

Bagaimanapun, menurut Zahalini, pembedahan di hospital itu disahkan gagal dan kes berkenaan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur, pada 24 Februari lalu.

Menurut Zahalini, penyakit berkenaan bukan saja menyebabkan anaknya kerap demam dalam tempoh panjang tetapi juga tidak dapat berjalan sendiri seperti bayi seusianya.

“Pada mulanya, berat hati saya untuk menerima kenyataan Muhammad Afif menghidap penyakit berkenaan memandangkan dia tiada masalah kesihatan sejak dalam kandungan hingga dua bulan pertama selepas kelahiran.

“Malah, saya tidak tahu menahu mengenai penyakit berkenaan sehingga diberi penerangan oleh doktor.

“Sejak itu, saya dan suami kerap memantau keadaannya, selain membawanya menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan bermula di HRPZ II dan kini di PPUM.

“Melihat keadaannya, doktor di PPUM mengesyorkan Muhammad Afif menjalani pembedahan pemindahan hati.

“Memandangkan saya mempunyai jenis darah yang sama dengannya, jadi saya menawarkan diri menjadi penderma hati,” katanya yang juga seorang suri rumah sepenuh masa.

Zahalini yang juga ibu dua cahaya mata itu berkata, pembedahan berkenaan menelan belanja sebanyak RM160,000 dan setakat ini, wang diperlukan hampir mencukupi.

Bagaimanapun, dia dan suaminya buntu mencari wang untuk perbelanjaan di India kerana dijangka berada di sana selama dua bulan.

“Alhamdulillah, ramai yang prihatin dan menghulurkan sumbangan, namun kami masih berikhtiar mencari wang bagi menampung perbelanjaan sepanjang berada di sana.

“Diharap, urusan kami dipermudahkan kerana ketika ini, keutamaan kami adalah Muhammad Afif dan berharap pembedahan yang akan dijalankan nanti berjaya,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Abdullah yang bekerja sebagai penjawat awam berkata, doktor menjangkakan anaknya hanya dapat hidup sehingga berusia dua tahun seandainya tidak melakukan pembedahan Kasai di peringkat awal.

“Bagaimanapun, pembedahan itu sudah dilakukan dan menurut doktor, dia boleh hidup lebih lama sehingga 2026 cuma pemindahan hati tetap perlu dilakukan.

“Sebagai bapa, saya hanya mampu berikhtiar dan berdoa supaya semua dipermudahkan kerana ajal serta maut di tangan Allah SWT,” katanya.

Kisah Muhammad Afif Irfan mula mendapat perhatian warganet dan orang ramai hasil kempen yang dijalankan platform carian dana kecemasan dan usaha kemanusiaan atas talian, Kitafund sejak 25 Jun lalu.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan boleh berbuat demikian di laman web kitafund.com, atau klik di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 7:22 PM