TAN menonton wayang berpenampilan seperti patung Annabelle. FOTO ihsan Kimberly Lee Tan
Redzuan Muharam


“SAYA lakukannya untuk suka-suka saja dan berpuas hati kerana apa yang dirancang berhasil,” kata Kimberly Lee Tan, 50 yang mencuri perhatian warganet selepas gambarnya menonton wayang di di Johor Bahru berpenampilan seperti patung Annabelle tular di laman sosial, baru-baru ini.

Selain memakai gaun putih, Tan turut mengenakan solekan dan rambut palsu persis watak dalam filem seram berkenaan.

Menceritakan latar belakangnya, Tan berkata, di samping mengusahakan pusat gimnasium, dia turut aktif dengan hobinya sebagai pemain cosplay dan pernah memakai kostum adiwira seperti Superman, Batman, Spiderman dan lain-lain lagi di beberapa acara sebelum ini.

Namun, keinginan mencipta kelainan mendorongnya untuk tampil dengan imej patung Annabelle buat pertama kali di khalayak ramai .

“Saya membuat persiapan kira-kira seminggu untuk tampil dengan imej sebegitu dengan menempah baju dengan tukang jahit selain membeli rambut palsu secara dalam talian.

“Manakala, wajah saya disolek kira-kira empat jam sebelum ke pusat beli belah berkenaan oleh seorang kenalan saya di Facebook yang menawarkan diri untuk menyolek tanpa mengambil sebarang bayaran.

“Untuk tampil seperti Annabelle sebenar, saya turut membelanjakan wang untuk membeli kuku palsu dan hasilnya memang seperti yang yang saya inginkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Kimberly berkata, dia tampil dengan imej Annabelle di pawagam ketika hari ketiga tayangan filem berkenaan, 29 Jun lalu sebelum diundang ke pusat beli belah lain di Johor Bahru pada hari berikutnya.

“Ketika berada di luar pawagam lagi, pengunjung dan penonton filem berkenaan sudah mula mengajak saya untuk begrambar serta berswafoto.

“Ada juga penonton yang mentertawakan saya manakala segelintir kanak-kanak menangis dan enggan mengambil gambar kerana gerun melihat wajah saya.

“Apa pun, saya gembira dengan sambutan diterima dan berharap kemunculan saya tempoh hari dapat menceriakan pengunjung di pawagam pusat belah berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 10:07 PM