GELAGAT suspek yang dirakam penduduk sebelum ditahan polis. FOTO ihsan pembaca
GELAGAT suspek yang dirakam penduduk sebelum ditahan polis. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


CUBAAN seorang lelaki mengumpil pagar besi dan memanjat bumbung untuk memecah masuk sebuah rumah di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, gagal apabila dia ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk di kawasan terbabit yang memaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 8 pagi.

“Berdasarkan maklumat awal diterima, kami dimaklumkan penduduk ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang mengumpil pagar besi dan memanjat bumbung rumah berkenaan.

“Polis yang tiba di lokasi kejadian berjaya menahan suspek berusia 41 tahun itu yang sedang bersembunyi di sebuah bilik di rumah berkenaan,” katanya hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, pemeriksaan terhadap suspek mendapati lelaki itu mempunyai 11 rekod lampau dengan enam daripadanya berkaitan dadah, manakala lima lagi kes pecah rumah.

“Ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah jenis heroin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 2:59 PM