KAMBING jantan baka Saanen yang dikenali sebagai Remos yang menjadi tular di media sosial. FOTO ihsan FB Muhammad Livestock Farm


“REMOS memang suka bergambar. Apabila nampak kamera dia akan ‘pose’ dan seolah-olah tersenyum,” kata Ahmad M Fadzir, 21, penternak kambing di Kampung Periang, Kuala Kangsar, Perak.

Kambing jantan baka Saanen yang lebih dikenali sebagai Remos itu tular di media sosial dan mencuri perhatian netizen berikutan jambul serta ‘senyumannya’.

Status dimuat naik Ahmad sejak semalam melalui akaun Muhammad Livestock Farm itu mendapat 1,100 pelbagai reaksi’, 1,000 komen dan 3,000 perkongsian.

Ahmad berkata, pada mulanya, dia hanya mahu mempromosikan perniagaan kambingnya dengan memuat naik gambar Remos di Facebook.

“Bagaimanapun, saya tidak sangka ia boleh menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi oleh orang ramai.

“Saya ada lebih 17 kambing baka Saanen. Namun, yang ini paling ‘hensem’ sebab ada jambul dan suka senyum apabila saya ambil gambar.

“Ada yang sudah tanya jika saya mahu menjual Remos. Namun, menolak cara baik dan menawarkan kambing dari baka yang sama kepada mereka yang mahu membeli,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan bagaimana dia memiliki kambing itu, Ahmad berkata, Remos dibeli dari seorang penternak di Terengganu dengan harga RM750.

“Masa itu, saya mahu kembangkan perniagaan dengan menternak kambing tenusu berikutan susu kambing mendapat permintaan ramai.

“Ketika sedang memilih kambing betina, saya ternampak Remos dan tertarik dengannya sebab cantik. Terus saya beli tanpa fikir panjang,” katanya.

Ahmad berkata, bukan mudah untuk menjaga kambing dari baka itu berikutan ia memerlukan penjagaan yang rapi serta persekitaran yang bersih.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, perusahaan Muhammad Livestock Farm itu diusahakan bersama kembarnya Muhammad dengan bantuan dua pekerja.

“Selepas ayah sudah tidak larat lagi untuk menternak kambing itu, dia kemudian menyerahkan perusahaannya kepada kami berdua.

“Muhammad terlebih dulu menyambung perusahaan ayah selepas habis belajar Tahfiz di Maahad An-Nahdhoh, Pulau Pinang.

“Saya lambat sikit sebab ketika itu mahu memberi fokus pada pengajian Diploma Perakaunan di Universiti Sultan Azlan Shah,” katanya.

Selain baka Saanen, dia dan kembarnya turut menternak kambing biri-biri dan lembu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 6:07 PM