KEADAAN Ainul semakin baik dan dijangka pulang ke tanah air tidak lama lagi. FOTO FB Ahmad Safiuddin.


BAPA kepada Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, memaklumkan yang anaknya itu akan dibawa pulang ke tanah air secara senyap.

Ahmad Safiuddin berkata, dia dan isterinya, Nurul Erwani Zaidi sedang melakukan persiapan untuk membawa anaknya itu pulang ke Malaysia, tidak lama lagi.

“Tarikh tidak akan diberitahu atas nasihat doktor di sini (London) sebab takut ramai akan tunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) nanti.

“Kami akan balik secara senyap-senyap berikutan Ainul dalam fasa untuk sembuh dan badannya masih belum kuat.

“Harap semua orang faham keadaan Ainul, demi mengelakkan anak kami daripada jangkitan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, Ahmad Safiuddin memuat naik gambar anaknya kira-kira dua jam ang lalu dengan keterangan ‘Dah ready ke kakak (Ainul)’.

Status dimuat naik di laman Facebook itu kemudiannya mendapat 5,800 reaksi, 116 komen dan 205 perkongsian.

Ainul Mardhiah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di Hospital Kanak-kanak di UK pada 10 Jun lalu.

Kesihatannya terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 7:17 PM