KAKITANGAN JDT melakukan proses sanitasi di Pusat Latihan Padang Seri Gelam. -Foto Johor Southern Tigers
Syazwan Msar


KEM bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ‘diserang’ virus influenza hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 17 pemain menerima rawatan susulan selepas didapati positif simptom terbabit.

Pengarah Teknikal JDT Alistair Edwards menerusi kenyataan media di laman Facebook Johor Sotuhern Tiger memaklumkan beberapa kakitangan dan jurulatih turut didapati positif virus berkenaan.

Katanya, 10 pemain daripada skuad senior JDT, empat pemain membabitkan JDT II manakala tiga lagi adalah pemain JDT III.

“Pihak kelab mengambil langkah mengawal penularan virus dan menghantar semua pemain, jurulatih dan kakitangan untuk pemeriksaan kesihatan.

“JDT juga melakukan proses sanitasi kawasan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam bagi memastikan persekitaran selamat untuk semua,” katanya.

JDT dijangka melayan kunjungan PJ City di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin, esok sekali gus kemungkinan mengganggu perancangan jurulatih apabila 10 pemain terpaksa mendapat rawatan susulan selepas terkena virus terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 9:29 PM