ELVINA hasrat cabar kredibiliti lakonan namun memilih watak.
Sudirman Mohd Tahir


STATUS ibu kepada seorang cahaya mata tidak menghalang pelakon cantik, Datin Elvina Mohamad melakonkan pelbagai watak. Malah, Elvina, 24, atau nama sebenarnya Norazlina Mohamad berkata, dia bersedia menjayakan watak menggoda bagi mencabar kredibiliti lakonannya.

“Soal watak saya tak kisah. Selama ini pun saya tak pernah memilih. Cuma, saya dapat banyak tawaran menjadi isteri teraniaya.

“Tak pernah lagi dapat watak antagonis dan 'berani mati' macam Juita dalam Nur 2. Kalau dapat watak sebegitu, menarik juga tetapi saya kena baca skrip dulu.

“Kalau ia sesuai, tidak melampaui batas dan suami izinkan, saya akan buat. Buat masa sekarang saya okey sahaja bawa apa pun watak,’ katanya.

Elvina yang juga pelakon Isteri Untuk Diiktiraf tidak menolak melakonkan watak ibu. Namun, Elvina menolak sekiranya dirinya dijadikan tua bagi menjayakan watak ibu kepada seorang anak yang berusia.

“Sebelum ini dalam drama bersiri web Geng Mak Mak saya melakonkan watak ibu muda. Saya okey sebab realitinya memang itu. Namun, kalau saya diberikan watak ibu tua dan anak pula dewasa, saya tak mahu. Saya berasakan tak sesuai dengan saya.

“Sebaik-baiknya menggunakan pelakon berusia yang lebih layak melakonkan watak itu. Ia nampak lebih hidup dan semula jadi,” katanya.

SUAMI IZIN BERLAKON

Biarpun anak lelakinya, Karl Mateen baru berusia tujuh bulan, Elvina sudah bersedia kembali ke lokasi penggambaran. Menurut Elvina, suaminya, Datuk Mohd Haniff Borhan memberi keizinan asal sahaja dia masih memberi keutamaan kepada keluarga.

“Suami beri lampu hijau saya kembali aktif berlakon walaupun anak belum setahun. Suami tidak pernah menghalang, sebaliknya menyokong minat saya. Itu yang penting.

“Kami juga sudah bincang yang saya akan masuk set penggambaran tidak lama lagi. Kalau bekerja nanti, mak mentua yang tolong jaga anak. Saya tak nak tinggalkan Karl dengan pembantu.

“Kalau kebetulan memerlukan saya berada di luar Lembah Klang dan kena bermalam, saya tidak bawa anak. Melainkan jika lokasi itu sesuai dan selesa, baru saya akan bawa,” katanya.

Berkongsi mengenai anaknya itu, Elvina berkata dia sudah memberikan susu formula sepenuhnya.

“Saya pernah sekali tinggalkan dia ketika terbabit dalam penggambaran. Ketika itu dia berumur tiga bulan. Agak susah juga sebab dia masih menyusu badan.

“Sekarang, saya sudah berikan susu formula sepenuhnya. Jadi, tidaklah saya berasa berat hati keluar bekerja.

“Alhamdulillah, anak sihat. Dia juga semakin pandai. Selagi belum terbabit dengan penggambaran, memang setiap hari saya masak untuk dia,” katanya.

Elvina mengakui, sejak dikurniakan anak, kehidupannya berubah dan jadi lebih bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 6:00 AM