SEBANYAK 111 sekolah, di Pasir Gudang mencuba alat pengesan gas yang diterima daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.
Izlaily Nurul Ain Hussein


PASIR GUDANG: Lanjut pinjaman bagi tempoh seminggu lagi! Itu keputusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang setuju meminjamkan alat pengesan gas bagi mengambil bacaan kualiti udara di 111 sekolah di sekitar daerah ini dilanjutkan hingga Sabtu ini.

Pengarah JAS negeri, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, pihaknya menyerahkan alat pengesan gas bagi membolehkan pihak sekolah memantau bacaan Volatile Organic Compound (VOC) hingga Sabtu ini.

Menurutnya, langkah itu dilakukan bagi merekodkan data bacaan VOC dalam tempoh 24 jam bagi analisis mencari punca insiden gangguan kesihatan terhadap murid dan pelajar yang berlaku sejak lebih dua minggu lalu.

“Kementerian Tenaga, Sains,Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) memutuskan untuk membekalkan semua 111 sekolah di kawasan ini dengan alat pengesan gas hingga Sabtu ini bagi menganalisis secara terperinci bacaan VOC dalam tempoh 24 jam.

“Selepas sehari (semalam) pihak sekolah memulangkan alat pengesan gas yang dipinjamkan JAS untuk mengambil bacaan kualiti udara di 111 sekolah sekitar Pasir Gudang, jabatan menyerahkan semula alat berkenaan.

“Ia berikutan, MESTECC mengarahkan JAS melanjutkan tempoh pemantauan seminggu ke atas kepada setiap sekolah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Wan Abdul Latiff berkata, alat pengesan gas itu akan dipasang 24 jam dan bacaan kualiti udara akan diambil secara berkala setiap empat jam sekali.

“Jika sebelum ini kita ambil bacaan empat kali sehari dan alat cuma dipasang ketika hendak mengambil bacaan, tetapi kali ini ia akan dipasang secara berterusan selama 24 jam, walaupun bacaan tetap dibaca setiap empat jam sekali.

“Semua data yang diperoleh daripada pihak sekolah akan diserahkan kepada kita untuk kita lihat keperluan menghantar alat pengesan gas yang lebih terperinci iaitu Gasmet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 6:30 AM