Skuad Khas Harian Metro


KUALA LUMPUR: Habuan lumayan RM40,000 hingga RM100,000 menyebabkan ada tauke nelayan tempatan yang gelap mata dan membenarkan lesen bot mereka dialibabakan untuk kegunaan pengusaha bot asing khusus daripada Vietnam.

Selepas mencapai persetujuan pemilik lesen boleh goyang kaki dan menerima bayaran bulanan antara RM8,000 hingga RM14,000 sebulan bergantung kepada perjanjian kedua-dua pihak.

Dalam satu pertemuan di satu lokasi rahsia sekitar Kuala Lumpur, orang tengah mahu dikenali sebagai An Thuan, 53, mendedahkan sikap tamak pengusaha bot tempatan memberi manfaat kepada nelayan dari Vietnam.

An Thuan mendedahkan, beberapa restoran di lokasi sulit sekitar ibu kota menjadi tempat perjumpaan antara pemilik bot dan ejen untuk urusan berkenaan.

“Selalunya, saya akan aturkan pertemuan antara tauke bot Vietnam dan pemegang lesen di ibu kota. Jika lancar, satu perjumpaan tertutup akan dilakukan sama ada di hotel untuk memuktamadkan perjanjian,” katanya.

Memperincikan bentuk perjanjian antara dua pihak itu, An Thuan berkata, ia termasuk nilai pembayaran awal (deposit) dan bayaran bulanan, tempoh masa untuk memasuki perairan Malaysia, urusan pendaratan ikan di jeti (Malaysia), serta kelulusan kru bot oleh pihak berkuasa.

“Semuanya akan dimuktamadkan. Perjanjian kami tak ada hitam putih, semuanya atas dasar percaya, tapi kami patuh pada persetujuan,” katanya.

Dia yang sudah lapan tahun terbabit dalam aktiviti ini juga sudah fasih berbahasa Melayu kerana kerap bergaul dengan tauke bot tempatan.

Menurutnya, tauke bot Vietnam menganggap perbuatan dilakukan tidak menyalahi udang-undang dan memberikan keuntungan kepada kedua-dua belah pihak.

“Kita cari makan saja lagipun sudah bayar dekat pemilik bot (pemegang lesen) termasuk pihak berkuasa Malaysia. Kita ambil lesen dia buat (tangkap ikan) bukan salah.

“Dulu saya kerja kilang, sekarang jutawan selepas jadi orang tengah antara tauke bot Vietnam dan pemilik lesen serta pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Biarpun diasak wartawan, An Thuan menegaskan, nelayan Vietnam bukanlah menceroboh ataupun mencuri hasil laut Malaysia sebaliknya membantu nelayan tempatan dan pemilik bot.

“Sama macam saya cakap tadi, kita bayar mereka (nelayan tempatan/pemilik bot). Mereka ada lesen kalau bot tetapi tidak jalan (keluar tangkap ikan) tiada hasil juga.

“Kita buat kerja bagi pihak mereka dan jaminan bayaran bulanan tanpa menanggung sebarang risiko,” katanya menegaskan, urus niaga berkenaan dilakukan secara tunai.


AN Thuan sudah lapan tahun menjadi orang tengah kepada pengusaha bot Vietnam dan tempatan.

>b/b

PHAN TIET (VIETNAM): Bantuan tali barut tempatan dalam kalangan pihak berkuasa, nelayan dan pemilik bot membenarkan lesen vesel serta peralatan menangkap ikan mereka digunakan menyebabkan masalah pencerobohan nelayan asing khusus dari Vietnam ke perairan negara semakin parah.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan Malaysia kerugian RM6 bilion setahun disebabkan pencerobohan nelayan asing terutama membabitkan nelayan Vietnam.

Bagi membuktikan kerakusan nelayan Vietnam menceroboh dan merompak hasil laut negara, wartawan Harian Metro ke negara ini untuk menjejak aktiviti mereka.

Bagi melindungi pergerakan wartawan menyamar sebagai pegawai pihak berkuasa dan mendapatkan bantuan seorang rakyat tempatan yang terpaksa dirahsiakan identitinya atas faktor keselamatan.

Wartawan ke beberapa wilayah seperti Phan Tiet, Ca Mau dan Ken Gien bagi meninjau industri perikanan tempatan dan pada masa sama cuba mengatur pertemuan dengan orang tengah atau ejen yang menguruskan kemasukan bot nelayan Vietnam ke Malaysia.

Usaha menjejak rangkaian menyokong aktiviti haram bot nelayan Vietnam berdepan kesukaran berikutan pertemuan diatur dengan beberapa individu memainkan peranan sebagai ejen pada awalnya gagal.

Namun wartawan akhirnya berjaya bersemuka dengan Cuong, 40, mendakwa kerap mengatur penghantaran nelayan Vietnam ke Malaysia sejak lima tahun lalu.

Pertemuan di sebuah kedai kopi di bandar Mui Ne, di sini, pada mulanya agak tegang apabila Cuong mendakwa rundingan atau ‘kowtim’ untuk urusan berkenaan tidak berlaku di kawasannya.

Malah dia yang masih curiga turut menasihatkan wartawan supaya berhati-hati kerana urus niaga berkenaan membabitkan nilai jutaan ringgit.

Menjelaskan mengenai perkara itu Cuong berkata, lebih 15,000 bot nelayan dikategorikan sebagai kelas C2 dan kelas C berada di negara ini.

“Laut Vietnam sudah tak ada ikan, kebanyakan tauke (pemilik bot) mempunyai lima hingga 10 bot sebab itu mereka masuk ke kawasan orang (ceroboh). Bukan Malaysia saja malah ketika ini nelayan kami masuk ke Kemboja, China, Thailand dan Indonesia,” katanya.

Ketika perjumpaan berlangsung, Cuong turut menawarkan wang RM40,000 kepada wartawan yang diyakini sebagai pegawai pihak berkuasa jika dapat mengeluarkan lesen bot dan lesen menangkap ikan kelas C dari Malaysia.

“Jika bagi lesen, saya cari tauke yang ada bot sama seperti spesifikasi (lesen) dikeluarkan. Jika berjaya bayaran antara RM10,000 hingga RM12,000 sebulan akan kami beri,” katanya.

Cuong menegaskan, bayaran berbeza bagi bot kelas C2 yang akan dibayar sebanyak RM20,000 jika lesen berjaya dikeluarkan dan diikuti RM5,000 bayaran bulanan.

“Abang balik dulu bincang, jika dapat keluarkan lesen beritahu saya dan kita akan jumpa di Ho Chi Minh.

“Saya buat perkara ini dah lama, pernah keluarkan lesen vesel dan peralatan menangkap ikan dari Kelantan, Terengganu dan Pahang. Sebab itu nelayan Vietnam bebas keluar masuk Malaysia,” katanya.


BOT dari Terengganu yang dijejaki di Vietnam.

>b/b

CA MAU, (VIETNAM): Bot asal di Kuala Terengganu, Terengganu namun bot yang sama juga dikesan di daerah Song Doc, wilayah Ca Mau di sini.

Bot nelayan dengan spesifikasi, warna dan nombor pendaftaran sama seperti di Terengganu, Kelantan dan Pahang itu diklon selepas nelayan Vietnam mendapat lesen vesel serta peralatan menangkap ikan dari pihak berkuasa di Malaysia.

Itu situasi yang dilihat sendiri wartawan selepas menempuh perjalanan hampir 10 jam menggunakan jalan darat ke wilayah berkenaan.

Wartawan dengan bantuan seorang warga tempatan yang dirahsiakan identitinya atas faktor keselamatan meninjau wilayah berkenaan sebelum diaturkan untuk bertemu dengan pemilik bot nelayan berkenaan.

Pemilik dikenali sebagai Nguyen Ngoc berkata, dia mempunyai lapan bot bersaiz 100 tan itu memerlukan lesen vesel dan peralatan menangkap ikan bagi membolehkannya masuk ke perairan Malaysia.

“Kalau ada lesen berkenaan kami boleh menangkap ikan dengan selamat tanpa diganggu oleh pihak berkuasa.

“Hasil di perairan kami sudah tidak banyak malah ada di sesetengah tempat memang tidak ada langsung disebabkan itu ada tekong yang masuk ke Kemboja, Thailand dan Malaysia,” katanya dengan bantuan penterjemah.

Dia mendakwa, selepas lesen vesel dan peralatan menangkap ikan diberikan kepadanya di Vietnam, bot dari negara itu akan ke jeti ditetapkan di Malaysia bagi proses pemeriksaan fizikal mengikut spesifikasi lesen dikeluarkan.

“Kita ikut lesen, jika syarat ikan perlu didaratkan di jeti ditetapkan kita ikut, tetapi akan berlaku kerugian kepada tauke kerana ikan di Malaysia murah.

“Selain itu, nombor pendaftaran bot juga akan diubah mengikut lokasi yang ingin dimasuki seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang,” katanya.

Menurutnya, bendera dipasang pada bot nelayan juga akan ditukar mengikut kawasan yang dimasuki.

“Semua spesifikasi ini perlu sama kerana ada pegawai yang akan memeriksa bot nelayan di jeti ketika pengesahan lesen dilakukan.

“Pembuatan bot nelayan di sini sangat murah dan cepat berharga RM200,000 hingga RM400,000 (VND115 juta hingga VND225 juta),” katanya.

Wartawan kemudian membuat tinjauan di kawasan pembuatan bot nelayan di sekitar dan menemubual pembuat bot yang enggan dikenali.

“Kami banyak menerima tempahan daripada pengusaha bot di negara ini dan belum lagi menerima tempahan dari luar.

“Kebiasaan bot yang ditempah berharga RM200,000 dan akan siap dalam tempoh tiga bulan. Bot ini menggunakan kayu biasa dan disalut dengan fiber bagi mengukuhkan strukturnya,” katanya.

Katanya, ada juga pemilik bot yang menempah mengikut spesifikasi yang diperlukan mereka.

“Pelbagai permintaan dari pemilik bot, ada yang ingin cepat maka bayaran tambahan sekitar RM400,000 diperlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 10:00 AM