PENERBANGAN pulang Ainul dari United Kingdom yang sepatutnya dijadual tiba di negara ini petang ini terpaksa dibatalkan.
Nurul Fhatihah Zakinan


PENERBANGAN pulang Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin dari United Kingdom yang sepatutnya dijadual tiba di negara ini petang ini terpaksa dibatalkan susulan masalah kesihatan dihadapinya.

Ibu saudara bayi, Anis Sofiah Ahmad Razak, 22, berkata, penerbangan yang sepatutnya dijadualkan 9.30 malam tadi (waktu United Kingdom) dibatalkan 11.45 malam tadi.

"Abang beritahu, doktor tidak benarkan Ainul balik lagi namun tidak dimaklumkan punca jangkitan.

"Ainul perlu mengambil ubat antibiotik semula sekurang-kurangnya seminggu dan mereka mungkin akan berada di sana (UK) selama dua minggu lagi," katanya kepada NSTP di Melaka, hari ini.

Harian Metro pagi tadi melaporkan bayi berusia 10 bulan itu, dijangka tiba di negara hari ini sebelum akan terus ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Laporan memetik sumber berkata, Ainul bersama bapa Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, dan isteri, Nurul Erwani Zaidi, 24, sudah bertolak dari United Kingdom (UK) 9.30 malam tadi (waktu UK).

Semalam, Harian Metro melaporkan Ahmad Safiuddin memaklumkan yang anaknya itu akan dibawa pulang ke tanah air secara senyap.

“Tarikh tidak akan diberitahu atas nasihat doktor di sini (London) sebab takut ramai akan tunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) nanti.

“Kami akan balik secara senyap-senyap berikutan Ainul dalam fasa untuk sembuh dan badannya masih belum kuat.

“Harap semua orang faham keadaan Ainul, demi mengelakkan anak kami daripada jangkitan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ainul Mardhiah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di Hospital Kanak-kanak di UK pada 10 Jun lalu.

Kesihatannya terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 1:04 PM