PERMINTAAN Dr Nur Amalina menerusi kapsyen dimuat naik di Instagram miliknya mengenai Ainul Mardhiah, malam ini.
Redzuan Muharam


“TOLONG fahami situasi keluarganya (keluarga Ainul Mardhiah). Kita mahu Ainul pulih dan tolong doakan Ainul. Kami akan membuat kenyataan rasmi selepas selamat tiba di Malaysia,” demikian permintaan Dr Nur Amalina Che Bakri menerusi kapsyen dimuat naiknya di Instagram (IG), malam ini.

Setakat 9 malam ini, hantaran itu menerima lebih 10,000 tanda suka dan hampir 70 komen.

Selain kapsyen berkenaan, Dr Nur Amalina turut meminta semua pihak untuk memberi kerjasama dengan menghormati privasi keluarga Ainul Mardhiah.

“Ternyata banyak pihak menunjukkan minat dan keprihatinan terhadap kebajikan Ainul terutama selepas pembedahan dan kami berterima kasih atas doa serta ucapan kalian.

“Namun, saya mahu membuat satu permintaan, tolong beri ruang dan hormati privasi keluarga Ainul.

“Berita mengenai kepulangan Ainul yang disiarkan itu tidak betul kerana dia kini masih dipantau pihak hospital dan hanya akan pulang selepas (keadaannya) sedia,” katanya.

Menerusi hantaran sama, Dr Nur Amalina turut meminta semua pihak supaya tidak menyiarkan berita berdasarkan andaian atau sumber daripada pihak ketiga.

“Ada kalanya, ‘kurang lebih baik’. Pasukan perubatan di sini mengharapkan kerjasama kalian untuk kebaikan Ainul, terima kasih,” katanya.

Portal berita Harian Metro hari ini melaporkan penerbangan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin dari United Kingdom (UK) yang sepatutnya dijadual tiba di negara petang ini terpaksa dibatalkan susulan masalah kesihatan dihadapi bayi berkenaan.

Terdahulu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24 memaklumkan anaknya itu akan dibawa pulang ke tanah air secara senyap-senyap.

Ainul Mardhiah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di Hospital Kanak-kanak di London pada 10 Jun lalu.

Kesihatannya terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 9:30 PM