KEADAAN Aisyah Humaira ketika dirawat di HKL sebelum ini.
Redzuan Muharam


“LULUH hati saya apabila dimaklumkan doktor mengenai keadaannya dan sebagai ibu, saya hanya mampu berdoa dan berharap keadaannya bertambah baik,” kata Marlina Omar.

Wanita berusia 41 tahun itu mengulas mengenai keadaan anak bongsunya, Aisyah Humaira Mohd Zaidi, dua bulan yang dilaporkan kritikal selepas selesai menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.

Pembedahan bermula 8.30 pagi hingga 5.30 petang itu dijalankan berikutan keadaan anaknya yang menghidap komplikasi saluran jantung terbalik selain organ berkenaan mempunyai tiga lubang perlu dibedah secepat mungkin bagi mengelak implikasi lebih serius.

Bercerita lanjut, Marlina berkata, anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas pembedahan selesai dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) IJN.

“Saya hilang kata-kata apabila dimaklumkan oleh doktor mengenai keadaannya dan jadi lebih sayu apabila melihat dia tidak sedarkan diri.

“Saya, suami dan seluruh ahli keluarga hanya mampu berdoa saja ketika ini dan berserah kepada Allah SWT,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, suaminya, Mohd Zaidi Mohd Yusoff, 51 masih menaruh harapan untuk melihat anaknya itu kembali stabil serta menunjukkan perkembangan positif walaupun dilaporkan kritikal selepas pembedahan selesai.

“Keadaannya sangat kritikal selepas pembedahan dijalankan dan buat masa ini, dia berada di bawah jagaan dan pemerhatian jururawat.

“Sedih melihat keadaan badannya yang sarat dengan wayar dan ditampal dengan plaster. Saya tentunya berharap Aisyah kembali sihat, tetapi hanya mampu berserah kerana Allah SWT saja yang dapat menyembuhkannya,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, sebelum dipindahkan ke IJN pada 5 Julai lalu, anaknya itu mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama 53 hari.

Beliau berkata, doktor memaklumkan ia adalah satu pembedahan besar dan kemungkinan berisiko terhadap nyawanya.

“Namun, saya dan isteri nekad meneruskannya (pembedahan) kerana tiada pilihan walaupun mengalami masalah kewangan pada mulanya.

“Alhamdulillah, dana diperlukan mencukupi dan terima kepada semua kakitangan hospital dan orang ramai serta akhbar Harian Metro yang prihatin serta menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban kami,” katanya.

Pada 21 Jun lalu, akhbar ini melaporkan kisah Mohd Zaidi dan Marlina yang buntu memikirkan nasib Aisyah Humaira yang memerlukan dana RM60,000 untuk membiayai kos pembedahan.

Kisah itu mendapat perhatian ramai hingga membolehkan pasangan berkenaan mengumpul dana dalam tempoh tiga hari selepas laporan berita itu disiarkan.

Berita berkaitan

'Terima kasih bantu Aisyah Humaira'

'Hanya mampu melihat'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 10:00 PM