SAMINATHAN bersama banduan pada Program Latihan Kemahiran Penghuni Penjara Bersama Majikan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh, semalam.


MELAKA: Kegembiraan terpancar di wajah 10 banduan Penjara Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh apabila diberi peluang menjalani kehidupan di luar penjara melalui Program Latihan Bersama Penghuni Penjara.

Mereka bukan sahaja berpeluang bergaul dengan masyarakat, malah turut diberi pekerjaan di sebuah kilang makanan ringan di Taman Perindustrian Ayer Keroh di sini, sejak tiga minggu lalu.

Peserta adalah banduan yang menjalani hukuman di penjara prabebas dengan menerima bayaran elaun bulanan RM700.

Banduan, Jidin, 24, nyata teruja apabila dipilih Jabatan Penjara Malaysia (JPM) untuk menyertai program berkenaan yang dianggap sebagai titik permulaan bagi mengubah kehidupan apabila keluar penjara kelak.

Dia yang dihukum penjara tujuh tahun atas kesalahan merogol kini mampu menyesuaikan diri bergaul dengan masyarakat selepas dua tahun ‘terperap’ dalam penjara.

“Alhamdulillah, saya gembira dan terharu dengan peluang yang diberi dan saya berazam untuk melakukan yang terbaik untuk diri dan keluarga.

“Pada masa sama, saya bersyukur kerana keluarga dari Kluang, Johor turut memberi sokongan moral dengan melawat sebulan sekali di sini,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Exco Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, G Saminathan, semalam.

Program itu dianjurkan bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri, JobMalaysia dan JPM.

Hadir sama, Pengarah JTK negeri, Rosli Jantan, Pengurus JobMalaysia Melaka, Rohana Wan Omar Fadzil, Ketua Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti, JPM, Mohd Rothman Bujang serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Oriental Food Industries Holdings Bhd, Datuk Son Tong Leong.

Seorang lagi peserta, Azli, 32, berkata, dia tidak sanggup untuk mengulangi perbuatan jenayah rogol yang dilakukan lebih lima tahun lalu hingga membawanya ke penjara.

Katanya, peluang yang diberikan JPM dan syarikat berkenaan akan digunakan sebaik mungkin untuk memastikan kehidupannya selepas keluar dari penjara terjamin.

“Saya suka mencuba perkara baharu, namun apabila mula bekerja di kilang ini sejak tiga minggu lalu, saya mula seronok dan bertekad akan meneruskan kerjaya ini apabila keluar penjara kelak,” katanya.

Sementara itu, Saminathan berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong pihak yang mahu membantu banduan mendapatkan pekerjaan khususnya apabila mereka keluar dari penjara kelak.

“Kita tidak mahu mereka dipandang hina oleh masyarakat dan peluang ini wajar dicontohi syarikat lain, sekali gus dapat menyekat usaha menggunakan tenaga pekerja asing bagi perusahaan masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 5:30 AM