TINDAKAN Mas Idayu bersama Abdul Fakih menjadikan ayam goreng KFC (gambar kecil) sebagai hantaran majlis pertunangan mereka mencuit hati tetamu.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“PERMINTAAN itu datang secara spontan sebelum majlis berlangsung dan tak sangka apabila dia (pasangan) sudi menunaikannya,” kata Mas Idayu Nanyan, 24.

Majlis pertunangan Mas Idayu dengan Abdul Fakih Akta pada 6 Julai lalu mencuri perhatian netizen selepas gambar sekotak ayam goreng KFC di atas dulang hantaran, tular di media sosial sejak semalam.

Gambar bersama kapsyen dimuat naik di Twitter, malam tadi itu setakat ini mendapat lebih 8,600 ulang ciap dan 8,100 tanda suka.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia memang penggemar ayam dan ketika perbincangan mengenai majlis pertunangan, masing-masing memberi senarai barangan hantaran.

“Saya menyenaraikan lima barang dengan salah salah satunya adalah ayam KFC.

“Pada mulanya, dia (tunang) tidak keberatan, tetapi mempersoalkan permintaan saya menjelang majlis pertunangan dan saya enggan mendesak sebaliknya terima saja barangan hantaran akan diberikan.

“Rupanya, dia benar-benar serius memenuhi permintaan saya dan saya hanya menyedarinya (kotak ayam KFC di atas dulang hantaran) selepas keluar dari bilik untuk upacara menyarung cincin,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


AYAM goreng KFC antara hantaran diterima Mas Idayu pada majlis pertunangannya bersama Abdul Fakih.

Mas Idayu berkata, bukan saja dirinya, malah tetamu turut hairan melihat hantaran diberikan dibawa rombongan pihak lelaki.

“Saya lihat mereka (tetamu) tergelak dan berseloroh sesama sendiri mungkin kerana tidak pernah melihat pasangan membuat kelainan seperti itu.

“Apa pun, saya terharu dengan kesungguhannya dalam memenuhi permintaan saya walaupun terpaksa mendapatkan bantuan abangnya untuk membelikan ayam berkenaan pada saat akhir.

“Malah, disebabkan terlalu seronok, saya terus makan ayam berkenaan bersama keluarga selepas majlis selesai,” katanya yang bekerja sebagai kerani di syarikat minyak dan gas di ibu kota.

Mas Idayu berkata, dia memuat naik gambar berkenaan untuk berkongsi pengalaman dengan pengikut di Twitter.

Katanya, ramai dalam kalangan mereka memberi maklum balas dan berkongsi gambar berkenaan di akaun laman sosial masing-masing.

“Alhamdulillah, banyak komen positif diterima tidak kurang mendoakan hubungan kami berkekalan.

“Kami merancang melangsungkan majlis perkahwinan pada Ogos tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 8:41 PM