MUHAMMAD Faris Nazrin berkahwin dengan Nur Jeehada yang pernah alami kemurungan pada 5 Mei tahun lalu dan memuat naik gambar perkahwinan di Twitter, baru-baru ini.
Redzuan Muharam


“MEMANG ada kata saya gila, tetapi saya abaikan dan itu mesej cuba disampaikan menerusi perkongsian gambar dan kapsyen berkenaan,” kata pesakit Kecelaruan Skizoafektif (Schizoaffective Disorder), Muhammad Faris Nazrin Khairun Nazir, 26.

Muhammad Faris Nazrin mencuri perhatian warganet selepas secara terbuka mengakui dirinya mempunyai penyakit kesihatan mental menerusi gambar bersama isterinya, Nur Jeehada Ibrahim, 24, yang dimuat naik di Twitter pada 6 Julai lalu.

Setakat 10 malam tadi, gambar berkenaan mendapat lebih 2,100 tanda suka ,922 ulang ciap dan pelbagai reaksi daripada warganet.

Bercerita lanjut, Muhammad Faris Nazrin berkata, gambar berkenaan diambil selepas dia dan isteri selesai melangsungkan majlis pernikahan di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA, Sepang pada 5 Mei 2018.

Katanya, dia memuat naik gambar berkenaan dengan niat untuk berkongsi kegembiraan dan mengimbas kenangan apabila mendirikan rumah tangga meskipun mempunyai masalah kesihatan mental.

“Ikutkan, saya mempunyai sindrom penyakit berkenaan sejak berumur 15 tahun lagi, tetapi tidak menyedarinya walaupun terdapat tanda jelas seperti mengalami kesukaran tidur, emosi tidak menentu serta kerap mendengar bisikan suara halus.

“Namun, saya tidak berkongsi dengan sesiapa mengenai masalah itu termasuk keluarga sehingga disahkan doktor menghidapnya (Kecelaruan Skizoafektif) selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Serdang pada 2015.

“Sejak itu, saya mula disisihkan rakan dan tidak terfikir langsung untuk mendirikan rumah tangga kerana seronok menjalani hidup solo sehingga berkenalan dengan isteri di Facebook pada Ogos 2017,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, keserasian antaranya dan isteri mendorong mereka sepakat menamatkan zaman bujang selepas sembilan bulan perkenalan.

Katanya, mereka bertunang pada Januari 2018 lalu sebelum melangsungkan majlis pernikahan empat bulan kemudian.

“Tempoh perkenalan itu agak singkat, tetapi hati saya terbuka untuk menerimanya kerana ada keserasian antara kami apabila dia pernah mengalami masalah kemurungan dan mendapat rawatan ketika menuntut di Jordan.

“Alhamdulillah, kami tidak pernah bergaduh setakat ini dan berharap hubungan baik ini berkekalan,” katanya yang kini menetap di Rawang, Selangor.

Muhammad Faris Nazrin berkata, banyak komen diterimanya sejak memuat naik gambar berkenaan walaupun dia tidak berniat meraih publisiti.

“Rata-ratanya memberi komen positif, tetapi ada yang mengatakan kami berdua serasi bersama kerana sama-sama gila, tetapi saya terima (komen) dengan hati terbuka.

“Gambar sama pernah dimuat naik di Facebook tetapi platform Twitter lebih memberi impak apabila banyak respon diterima dan pengikut saya juga kini semakin bertambah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 6:40 PM