Hisham Hamid bergambar selepas sidang media pratonton drama "Geng" eksklusif hanya, di Astro First. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Syanty Octavia Amry


LAMA menantikan watak gengster, Hisyam Hamid nyata teruja untuk berkongsi aksi lakonannya dengan penonton.

Menerusi supertelefilem bertajuk Geng yang akan disiarkan saluran Astro First, Hisyam membawa watak sebagai Alex, ketua gengster yang menguruskan perniagaan dadah.

Hisyam berkata, walaupun ia naskhah komedi, ini adalah penampilan pertamanya sebagai gengster.

“Satu pengalaman baharu buat saya kerana belum pernah lagi menjayakan watak gengster.

“Memang sudah lama saya impikan watak sebegini. Walaupun tidak berat tetapi ia beri pengalaman untuk saya buat lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Hisyam akui, sejak dulu sangat meminati watak gengster malah filem aksi gengster dari Taiwan dan Hong Kong menjadi rujukannya.

“Saya banyak buat rujukan supaya orang boleh terima watak saya dalam Geng.

“Saya juga berasa puas kerana tidak selalu dapat peluang melakonkan watak yang saya suka.

“Biasanya saya ditawarkan watak lelaki baik dan lurus saja,” katanya.

Selain Hisyam, Geng dibintangi Sherry Al-Hadad, Nadiya Nisaa, Lisa Surihani, Alif Satar, Fatimah Abu Bakar dan ramai lagi.

Geng akan ditayangkan di saluran Astro First Ekslusif (saluran 480) pada 18 Julai ini.

Selain itu, jelas Hisham, dia bakal kembali ke lokasi penggambaran drama bersiri selepas hampir setahun tidak muncul.

“Buat masa sekarang saya tumpu buat telefilem dan projek pendek saja.

“Menerusi drama bersiri ini nanti, saya akan tampil dengan sesuatu yang baharu dan insya-Allah jika tiada halangan, saya akan ke lokasi pada hujung Ogos nanti.

“Agak lama tidak muncul dengan drama bersiri, tentulah saya berdebar.

“Lagipun, watak saya kali ini sedikit berbeza dan ia naskhah komedi,” katanya.

Hisyam berkata, dia juga bakal muncul dengan filem seram berjudul Dendam Pontianak yang diterajui Nur Fazura dan Remy Ishak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:01 AM