NAJIB hadir perbicaraan kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din.
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa RM3.3 juta dibelanjakan dalam masa sehari menggunakan dua kad kredit milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi pembelian antaranya di butik barangan kemas dan jam, De Grisogono di Itali.

Saksi ke-47, Naib Presiden Kanan Kumpulan AmBank, Yeoh Eng Leong berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding perbicaraan kes dana SRC International Sdn Bhd dihadapi Najib.

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed meminta Yeoh membacakan penyata kad kredit membabitkan kedua-dua kad yang mempunyai gabungan had limit RM3 juta bagi 2011 hingga 2015.

“Sebanyak lapan transaksi berjumlah RM2.86 juta dibelanjakan di butik itu menggunakan kad kredit Mastercard Ambank milik Najib pada 8 Ogos 2014.

“Manakala bagi kredit Visa Ambank, terdapat dua transaksi pembayaran berjumlah RM456,360.51 pada hari sama,” katanya.

Selain itu, Yeoh berkata, terdapat transaksi berjumlah RM593,347.57 dibuat menggunakan kad kredit Mastercard dan Visa di Thailand dan Amerika Syarikat.

“Terdapat dua transaksi Mastercard berjumlah RM127,017.46 di Hotel Shangri La, Bangkok pada 4 Januari 2015.

“Pada 22 Disember 2015, terdapat transaksi berjumlah RM466,330.11 melalui kad Visa milik Najib digunakan di butik Chanel di Honolulu, Amerika Syarikat,” katanya.

Menjawab soalan Budiman, Yeoh berkata, berdasarkan penyata bank itu, Najib sudah membuat pembayaran terhadap kedua-dua kad itu.

“Bagi kad kredit Mastercard bayaran balik sudah dibuat sebanyak RM2,833,147.21 pada 13 Ogos 2015.

“Manakala bagi kad kredit Visa juga dibayar pada tarikh sama sebanyak RM449,586.95. Semua bayaran dibuat melalui akaun semasa milik Najib,” katanya.

Menjawab satu lagi soalan Budiman, Yeoh berkata, tiada aduan atau laporan penyalahgunaan kad kredit milik Najib itu.

Menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh, Yeoh mengakui bayaran terakhir kad kredit itu pada April 2015 dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 6:01 PM