Redzuan Muharam


“SAYA tidak tahu mengenai perkara itu (video yang tular), tetapi berterima kasih kepada pelanggan dan semua yang memberikan sokongan,” kata bapa tiga anak yang hanya mahu dikenali sebagai Amri, 42.

Amri menarik perhatian warganet sejak malam tadi selepas videonya berjalan menggunakan tongkat untuk menghantar makanan kepada pelanggan tular di laman sosial.

Setakat 9.30 malam ini, video berkenaan sudah mencecah 148,000 tontonan, 1,500 tanda suka, lebih 200 komen dan dikongsi 1,100 kali oleh warganet.

Bercerita lanjut, Amri berkata, selepas syarikat lamanya menghentikan operasi, dia tiada pilihan kecuali mencari pekerjaan baru.

Menurutnya, dia bersyukur kerana diterima bekerja di syarikat perkhidmatan penghantaran makanan, meskipun kaki kanannya kudung akibat kemalangan jalan raya, 22 tahun lalu.

Katanya, sepanjang empat bulan berkhidmat di syarikat berkenaan, dia tidak berdepan masalah, sebaliknya mendapat layanan baik daripada majikan dan pelanggan.

“Tidak mudah untuk saya mendapatkan pekerjaan dengan faktor usia dan keadaan sebelah kaki yang kudung.

“Namun, rezeki menyebelahi saya apabila diterima bekerja di situ dan pada mulanya, emak bimbang kerana saya pernah terbabit dalam kemalangan, tetapi tiada pilihan kerana perlu menyara keluarga.

“Apa boleh saya katakan, rakyat Malaysia amat prihatin dan amat memahami keadaan saya yang berstatus orang kurang upaya (OKU), jadi tidak timbul masalah dalam soal kerja,” katanya.

Mengenai videonya yang tular, Amri berharap perkongsian itu dapat memberi inspirasi dan keyakinan kepada masyarakat untuk memberi peluang kepada OKU.

“Saya gembira jika video disebarkan itu dapat memberi inspirasi kepada OKU lain dan orang ramai.

“Malah, besar harapan saya untuk melihat lebih banyak syarikat swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menawarkan pekerjaan kepada OKU dalam bidang bersesuaian.

“Saya percaya, OKU boleh berjaya jika diberi peluang dan sebenarnya, ramai dalam kalangan kami yang mempunyai kelulusan pengajian di peringkat tinggi,” katanya

Sementara itu, Mohamad Baliami Kastua, 23, berkata dia tidak sangka video dimuat naiknya malam tadi mendapat perhatian ramai hingga tular di laman sosial.

“Sebenarnya, saya rasa amat bersalah kerana tidak tahu keadaannya (Amri) sehingga dia muncul di hadapan pintu rumah.

“Jika tidak, tentu saya akan turun sendiri ke bawah untuk mengambil makanan itu. Kami sempat berbual cuma tidak lama kerana dia perlu beredar dan bagi berkongsi pengalaman itu, saya muat naik video diambil di Facebook.

“Tak sangka pula, perkongsian itu tular dan saya hanya menyedarinya tengah hari tadi. Syukur kerana ramai yang prihatin selain menyatakan hasrat untuk menawarkan pekerjaan kepadanya,” katanya yang bekerja sebagai jururawat di Klinik Pergigian Dato’ Keramat ,Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Mohamad Baliami memuat naik video Amri berjalan menggunakan tongkat dengan kapsyen yang menyatakan perasaan sebak dan kagumnya terhadap kesungguhan lelaki berkenaan menghantar makanan dipesannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 10:44 PM
KECEKALAN Amri yang kudung kaki kanan dan bertongkat ketika menghantar makanan dirakam oleh Baliami. (Gambar kiri) Amri. FOTO ihsan Mohamad Bailami Kastua.