AL JEFRI NAZRI. FOTO Ihsan Al Jefri Nazri
Redzuan Muharam


“RAMAI yang memberikan pujian dan paling mencuit hati apabila mereka (warganet) menyamakan suara saya dengan pelakon Hollywood Morgan Freeman,” kata Al Jefri Nazri, 26.

Al Jefri menarik perhatian warganet selepas memuat naik videonya bertutur dalam Bahasa Inggeris di akaun Twitter miliknya, kelmarin.

Setakat ini, video berdurasi 29 saat itu meraih 130,000 tontonan; 4,300 tanda suka dan lebih 1750 ulang ciap oleh warganet.

Turut menarik perhatian warganet adalah video ‘lip sync’ Al Jefri menyanyikan lagu kumpulan Scan, Kau Dipaksa Aku Terpaksa yang setakat ini meraih 114,000 tontonan.

Menceritakan latar belakangnya, Al Jefri berkata, dia dibesarkan di Bayan Baru, Pulau Pinang dan berhijrah ke New York, Amerika Syarikat (AS) pada 2006 .

Katanya, dia kini sedang menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda Bahasa Sepanyol di Arizona State Universiti di samping menjadi guru ganti sementara di sebuah sekolah di New York.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui tidak fasih berbahasa Inggeris sebelum ini tetapi dapat menguasainya kerana sudah lama menetap di AS.

“Saya terkejut dengan penerimaan baik daripada warganet yang kebanyakannya kagum dengan slang dan cara saya bercakap.

“Ia bukan dibuat-buat atau cuba mengajuk sesiapa tetapi saya memang bertutur seperti itu terutama dengan masyarakat di sini dan rakan sekuliah.

“Namun, itu bukan bermakna saya sudah tidak boleh bertutur dan faham Bahasa Melayu.

“Lagipun, saya orang Melayu, anak Malaysia dan tiada apa yang luar biasa cuma fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris kerana sudah lama menetap di sini (New York),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Al Jefri, dia berterima kasih kepada semua khasnya rakyat Malaysia atas sokongan diberikan dan berharap video dimuat naiknya itu dapat memberi inspirasi serta meningkatkan keyakinan mereka yang menonton bertutur dalam bahasa Inggeris tanpa rasa malu.

“Saya terima semua komen dengan hati terbuka dan gembira jika video dimuat naik itu dapat menghiburkan mereka.

“Diharap, semua yang menonton dapat mengambil mesej cuba disampaikan dari sudut positif,” katanya yang bercita-cita menjadi Jurubahasa Inggeris dan Sepanyol selain merancang pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian di AS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 9:30 PM