Izlaily Nurul Ain Hussein


MUAR: “Andainya kau mekar, akan mewarnai insan-insan tersayang,” demikian antara bait indah puisi nukilan seorang ibu yang dicoret atas cebisan kotak kek hari jadinya pada 5 Oktober 2018, namun kata-kata itu cukup menggambarkan kerinduannya kepada anak lelakinya yang sebenarnya sudah pergi buat selama-lamanya.

Junaidah Basiran, 67, adalah ibu kepada seorang daripada 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014, Allahyarham Mohd Ali Md Salim.

Menurut Junaidah, ketika dia bersiap untuk menyambut hari jadinya yang ke-66 pada tahun lalu, kerinduannya terhadap Allahyarham Mohd Ali tiba-tiba menebal, menyebabkannya ketika itu terus mengambil kotak kek hari jadinya dan menulis puisi buat anaknya itu.

“Masa hari jadi saya tahun lalu, saya teringat dia (Allahyarham Mohd Ali), ini kotak kek hari jadi saya, saya ambil tulis atas ini (kek hari jadi), saya simpan sahaja puisi ini dari tahun lepas, hari ini baru saya bacakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jayor, Pagoh di sini, baru-baru ini.

Junaidah yang tidak dapat menahan sebak ketika membacakan puisi itu berkata, selepas lima tahun berlalu, dia masih merindui anak keenamnya daripada lapan adik-beradik.

Menurutnya, antara kenangan paling sukar dilupakannya ialah kata-kata sering diungkapkan Mohd Ali ketika mengejutkannya setiap kali bangun sahur selain bertanya mengenai persiapan hari raya.

“Dia selalu telefon saya waktu sahur, dia suruh saya bangun, tanya mak makan apa, suruh mak makan yang baik-baik.

“Kejadian itu berlaku dua minggu sebelum raya, jadi akhir-akhir itu, dia memang banyak tanya pasal raya, tanya apa barang-barang nak beli, dia cakap nanti dia belikan.

“Apa keperluan raya semua dia nak sediakan, tanya mak dah beli baju belum, dia kata nanti dia belikan jubah, dia tanya kasut bapa dia, seluar bapa dia, adik-adik dia punya barang, semua dia tanya,” katanya.


JUNAIDAH bersama Mohd Salman menziarahi pusara Allahyarham Mohd Ali di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Pagoh.

Bagaimanapun, Junaidah berkata, dia dan keluarga kini lega apabila dapat menunaikan impian arwah anaknya yang sebelum ini mahu membina rumah untuk keselesaan keluarga.

Menurutnya, dia dan keluarga mengambil keputusan menggunakan sebahagian wang pampasan yang diterima daripada Malaysia Airlines (MAS) kepada waris mangsa dalam nahas itu untuk mengubah suai rumah.

“Kami terima RM300,000 sebagai wang pampasan. Baru terima sebelum bulan puasa lalu. Kami sepakat gunakan sebahagian daripadanya untuk ubah suai rumah. Itu yang arwah impikan. Dia pernah cakap kalau dia dah kerja nak buatkan rumah.

“Jadi, inilah gantinya, ini kenangan buat kami. Masa buat rumah ini pun, rindunya pada dia. Terbayang-bayang arwah ada. Ada lagi barang-barang dia, macam buku, gambar, semua saya pegang dan tengok bila rindu.

“Bunga tulip ini (sambil menunjukkan sejambak bunga tulip disusun dalam pasu di atas meja) arwah yang belikan dari sana (Belanda),” katanya yang hanya menerima wang pampasan itu selepas lima tahun tragedi itu berlalu.

Allahyarham Mohd Ali adalah calon pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengikuti pengajian tahun akhir dalam jurusan ijazah kedoktoran dalam bidang Development Neuropsychopathology di Universiti Erasmus, Rotterdam, Belanda.

Dalam kejadian pada 17 Julai 2014, pesawat Malaysia Airlines yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di ruang udara di timur Ukraine.

Tragedi itu mengorbankan 298 kru dan penumpang termasuk 43 rakyat Malaysia.

Kesedihan mengenang insiden menimpa anaknya itu ditambah apabila Junaidah kehilangan suami tercinta, Allahyarham Md Salim Sarmo, 69, yang meninggal dunia pada 5 Mei lalu akibat serangan jantung ketika memandu kereta ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

“Suami saya meninggal dunia sehari sebelum puasa. Saya reda tetapi saya akan sedih apabila menjelang Ramadan dan Aidilfitri, mana tidaknya anak dan suami pergi ketika bulan puasa dan raya.

“Aidilfitri yang lalu rasa lain, rasa kehilangan sangat,” katanya yang turut membawa wartawan Harian Metro menziarahi pusara Mohd Ali dan Md Salim di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Pagoh di sini.

Pada 19 Jun lalu, pasukan penyiasat antarabangsa mengenal pasti empat suspek sebagai perancang utama insiden MH17 itu ditembak jatuh. Ia didedahkan menerusi laporan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang menyiasat insiden berkenaan dalam satu sidang media di Belanda.

Bagi adik kepada Allahyarham Mohd Ali, Mohd Salman, 32, berita pendedahan suspek itu diterima dengan hati terbuka memandangkan itu yang dinanti-natikan bukan sahaja mereka, tetapi waris mangsa yang lain.

“Kita memang tertunggu-tunggu berita seumpama itu. Memang ada yang yakin ada yang tak, betul ke berita itu, tetapi untuk kami sekeluarga, kami reda. Selebihnya kita serah sahaja kepada undang-undang. Cuma kita harap biarlah ia berita yang benar, jangan hanya kata-kata sebagai penyedap hati waris,” katanya.

Menurutnya, selepas lima tahun berlalu, ada satu persoalan yang masih terpendam dalam hati dia sekeluarga yang masih belum terjawab.

“Secara peribadi, kita nak tahu apa tujuan suspek tembak pesawat itu. Apa yang mereka mahu dari Malaysia sebenarnya? Sampai sekarang ia tidak terjawab,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 10:00 AM