AMAN Ra promosi lagu Berada.
Norhayati Nordin


SUDAH berdikari sejak remaja mematangkan pendirian penyanyi rap yang semakin mencipta nama, Aman Ra, 32, terhadap erti kehidupan. Mengakui pelbagai onak duri dan jatuh bangun pernah dilalui sebelum menjadi penyanyi, sukar buat Aman Ra melupakan setiap keperitan itu.

Berkongsi bicara mengenai erti kehidupan, Aman Ra atau nama sebenarnya Aman Jamaluddin berkata, dia suka memerhati dan kemudian berfikir untuk mengetahui kenapa sesuatu perkara itu berlaku.

“Saya tahu tidak ada perkara berlaku tanpa sebab. Jadi, sifat ingin tahu yang tinggi itu membuatkan saya akan memikirkannya sehingga mendapat jawapan.

“Walaupun sedar perancangan Allah SWT paling baik, setiap ujian dialami menyebabkan saya terfikir pasti akan ada jalan penyelesaian. Apa yang pasti, perjalanan kehidupan ini sangat indah,” katanya.

Pembabitan Aman Ra dalam bidang muzik sejak di sekolah menengah diakuinya sebagai minat dan terapi diri. Katanya, muzik dan bakat adalah dua perkara seiring.

Aman Ra yang lebih sedekad mengumpul ilmu dan pengalaman dalam muzik berkata, dia selesa berkongsi kisah kehidupannya dalam setiap karya ditulis.


KERJASAMA Aman Ra dengan penyanyi lain untuk dapatkan pengalaman dalam berkarya.

“Kebanyakan lagu saya berkait rapat dengan diri sendiri. Walaupun dinyanyikan bersama penyanyi lain, saya tidak berasakan karya itu sebagai cuba menumpang nama dan populariti mereka.

“Bagi saya, bakat seni itu anugerah Allah kepada mereka yang dipilih. Oleh itu, sesiapa yang memiliki bakat pasti ada kelebihan masing-masing.

“Jadi, tidak ada istilah siapa tumpang siapa. Pada saya, jika sudah ada bakat dan terus berusaha semestinya akan meraih kejayaan apabila tiba masanya.

“Kunci dalam kehidupan ini ialah mesti tabah dan cekal menghadapi dugaan. Sesungguhnya perjalanan hidup yang diatur Allah sangat indah seandainya manusia tahu bersyukur,” katanya.

Aman Ra berkata, dengan kejayaan yang mula diraihnya apabila nama, bakat dan karya lagu dicipta semakin dikenali peminat, dia mengharapkan dapat kekal dengan sikap ‘low profile’.

“Saya berdoa supaya tidak lupa diri dengan kejayaan dan akan terus melipat ganda usaha untuk mencapai apa yang diimpikan dalam karier seni.

“Semoga saya dijauhkan daripada sikap sombong atau meninggi diri. Bukan mudah laluan saya harungi untuk berada pada tahap yang baik ini,” katanya.

Aman Ra yang sudah menghasilkan satu album bertajuk Rebel tahun lalu cukup dikenali dengan lagu hip hop ciptaannya seperti Budak Flat dan Bangun yang menjurus kisah motivasi diri.

Selain itu, Aman Ra juga pernah bekerjasama menyanyikan lagu Jatuh Bangun dengan Haqiem Rusli termasuk lagu Cabang Tiga dendangannya dipilih menjadi lagu tema filem aksi pecah panggung, Paskal tahun lalu.


AMAN Ra turut jalin kerjasama dengan Altimet.

PERTARUH LAGU BERADA

Sentiasa mahu memberi terbaik dalam lagunya untuk kepuasan diri, kini Aman Ra rancak membuat promosi dan publisiti untuk lagu baharu berjudul Berada.

Karya lagu yang berkisar perjalanan kehidupan itu menggandingkan Aman Ra bersama dua lagi penyanyi berpengalaman tanah air iaitu Altimet dan Noh Salleh.

Lagu Berada yang dimuatkan dalam album Rebel, hasil ciptaan melodinya oleh Navigator dan lirik ditulis bersama Aman Ra, Altimet serta Noh Salleh.

Menurut Aman Ra, dia gembira dan bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan Altimet serta Noh dalam lagu itu mengikut apa yang diinginkan.

“Ketika mendapat melodi Berada daripada Navigator, saya terus membayangkan betapa bagusnya jika ia dapat dirakam bersama Altimet dan Noh kerana yakin mereka ada pengalaman tersendiri.

“Saya tahu sedikit kisah lalu Altimet dan Noh sebelum mereka berjaya dalam karier seni seperti sekarang. Pastinya banyak dugaan sudah dilalui dan pengalaman itu hanya mereka yang rasai,” katanya.

Muzik video Berada arahan Syed Muhamad Hanif Syed Sofi sudah dimuat naik di YouTube sejak sebulan lalu dan sudah mencatat lebih 600,000 tontonan walaupun tanpa promosi serta publisiti besar.

Aman Ra berterima kasih kepada Altimet dan Noh di atas kesudian mereka bekerjasama termasuk maklum balas positif

yang diterima daripada pendengar untuk lagu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 2:16 PM