DR Mohd Asri.
Murni Wan Omar


KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Dr Zamihan Mat Zin memfailkan saman menuntut ganti rugi RM2 juta terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa memfitnahnya berhubung jawatan dan kerjayanya.

Zamihan memfailkan saman itu melalui Tetuan Azam Aziz Shahrudinali & Co di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, jam 2.30 petang semalam. Media memperoleh dokumen saman itu melalui peguam Zamihan, Datuk Shahrudin Ali.

Zamihan sebagai plaintif bagaimanapun tidak hadir dan dimaklumkan tidak sihat berikutan baru keluar dari hospital.

Berdasarkan penyata tuntutan, Zamihan yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Mohd Asri mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya sebanyak dua kali berhubung jawatan dan kerjayanya.

Beliau mendakwa, Mohd Asri mengeluarkan kenyataan fitnah melalui artikel bertajuk ‘Bukan Perlis sahaja’ yang diterbitkan pada 14 Oktober 2018.

Pada 9 Februari lalu, Mohd Asri didakwa sekali lagi mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif dalam sesi forum SOSMA bertajuk ‘Siapa Pengganas & Potensi Salah guna Kuasa’ yang dianjurkan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.

Plaintif mendakwa pada hari sama, ucapan Mohd Asri itu disiarkan di portal berita Malaysiakini bertajuk ‘Asri: Sebut Ayob Khan terbayang muka Zamihan’.

Zamihan berkata, kenyataan fitnah itu secara langsung merujuk kepada kerjaya, jawatan dan profesion beliau dan ia tidak benar.

Kenyatan fitnah itu didakwa membawa maksud bahawa plaintif tidak berintegriti, pembohong dan mengelirukan orang awam dengan hukum Islam yang karut.

Selain itu, Zamihan mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau tidak berkelulusan dalam bidang syarak, akidah dan hukum Islam serta tidak layak menjadi pengajar selain didakwa seorang pengganas.

Menurutnya, kenyataan fitnah itu berniat jahat dan mendedahkan dirinya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan dalam masyarakat.

Akibat fitnah itu, plaintif mendakwa beliau difitnah teruk dan dipandang hina serta mencemarkan reputasinya dalam masyarakat umum.

Oleh itu, selain ganti rugi am RM2 juta, beliau menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta permohonan maaf daripada defendan.

Beliau turut memohon perintah injunksi melarang defendan sama ada secara langsung atau tidak mengeluarkan kenyataan sama atau berunsur fitnah terhadapnya serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 5:30 AM