ABU Hassan membantu mengemas beg isterinya, Raemah di Kompleks Tabung Haji KLIA.
Nor Akmar Samudin

SEPANG: Selepas 11 tahun menunggu ‘panggilan’ haji, baru tahun ini seruannya sampai.

Meskipun Raemah Johan, 59, terpaksa ke Makkah dengan berkerusi roda namun dengan ditemani suami, Abu Hassan Abu Bakar, 61, ia menghilangkan segala kerisauannya untuk menyahut panggilan ke Tanah Suci.

Kata Raemah yang ditemui di Kompleks Tabung Haji, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lututnya tidak berapa kuat kerana banyak kali terjatuh namun impian untuk menunaikan haji bersama suami tidak pernah terpadam dari fikirannya.

“Sebaik saja kami berdua mendapat surat panggilan untuk mengerjakan fardu haji, kegembiraan saya mengatasi sakit lutut yang dideritai sehinggakan segala denyut dan lenguh terasa hilang begitu saja.

“Walaupun saya terpaksa ke sana dengan kerusi roda, saya yakin dapat melakukan semua ibadah di sana. Barangkali dalam banyak perkara saya memerlukan bantuan suami tetapi saya yakin rakan jemaah yang lain juga dapat membantu saya.

“Ada juga saya dengar, jemaah yang tidak berapa sihat di tanah air tetapi dengan kehendak Allah SWT, di sana dia sihat dan cergas. Saya sentiasa berdoa agar perjalanan saya dan suami di Makkah dipermudahkan-Nya dan dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya.

Ujar Raemah lagi, kali pertama mereka berdua dapat menjejakkan kaki di Tanah Suci, tentunya perasaan mereka sangat teruja dan akan menggunakan setiap masa yang ada untuk beribadah.

“Tak sabar rasanya untuk melihat kaabah di depan mata,” katanya.

Mereka akan berada di sana selama 43 hari dan akan kembali ke tanah air pada 27 Ogos ini.

Jelas Raemah, suaminya adalah pesara pekerja kilang dan mereka menggunakan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk ke Makkah.

“Saya tak mahu fikirkan sangat pasal sakit lutut ini, apa yang penting saya mahu beribadah sepuasnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 5:35 AM