MAZLINDAWATI bersama suami dan anaknya selepas berlatih Muay Thai.
Nur Lela Zulkipli


KLANG: Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Namun, Khairul Anuar Md Sargi, 39, terpaksa menahan perasaan sedihnya setiap kali melihat isterinya, Mazlindawati Mahfal, 37, ditumbuk dan ditendang semasa berlatih serta bertarung di dalam gelanggang Muay Thai.

Khairul Anuar yang menyedari risiko bakal dialami Mazlindawati berikutan menyertai sukan bela diri berkenaan berkata, dia perlu memujuk diri sendiri supaya dapat terus menyokong minat isterinya.

“Mazlindawati sudah berusaha sehabis baik dan kini dia berada di landasan yang tepat untuk mencapai cita-citanya.

“Mengapa saya perlu halang dia sedangkan dia sudah mengorbankan 20 tahun untuk hidup bersama saya dan membesarkan tujuh anak kami.

“Saya juga sering beritahu dia sekiranya tidak mampu bertahan lagi dengan kesakitan, dia boleh berehat pada bila-bila masa.

“Tetapi semangat dia semakin menebal untuk buktikan kepada dirinya sendiri dan masyarakat bahawa dia mampu lakukannya,” katanya.

Menurutnya, dia sanggup mempelajari asas pertolongan cemas dan urutan supaya dapat mengurangkan kesakitan isterinya setiap kali selepas menjalani latihan dan perlawanan.

“Memang saya sedih lihat dia menahan sakit, tetapi saya akan sedaya upaya menenangkan dan merawat dia. Sekiranya terdapat luka, saya akan terus hantar dia ke hospital.

“Apa saja impian atau cita-cita isteri selepas ini juga saya akan cuba bantu capai asalkan dia gembira menjalani hidup bersama saya dan keluarga,” katanya yang menguruskan kerjaya isterinya.

Khairul Anuar berkata, dia juga tidak kisah sekiranya ada masyarakat yang mengecam keputusannya mengizinkan Mazlindawati terbabit dalam muay thai.

“Orang boleh cakap apa saja tetapi inilah risiko dalam sukan muay thai.

“Setiap sukan juga ada risikonya sendiri dan tidak semua mampu menghadapinya.

“Saya bangga isteri boleh sampai ke tahap ini dan saya akan terus sokong dia sampai ke tahap mana pun yang dia inginkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 5:40 AM
Skip this ad x